Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya menerima keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung kes menurunkan tujuh pemain yang tidak sah dari segi pendaftaran.
Perkembangan terkini itu disahkan FAM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.
Keputusan yang dibuat dalam mesyuarat pada Selasa, 17 Mac 2026 itu dipengerusikan oleh Jahangir Baglari sekali gus mengesahkan bahawa FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC.
Kesalahan tersebut melibatkan dua aksi awal dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 iaitu bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac 2025 dan aksi menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Malaysia menang pada kedua-dua perlawanan tersebut dengan menewaskan Nepal 2-0 manakala membelasah Vietnam 4-0.
Namun begitu, kedua-dua keputusan tersebut kini dibatalkan. Malaysia telah diisytiharkan kalah 0-3, berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC.
Keputusan ini secara langsung memberi kesan besar terhadap kedudukan dan peluang skuad negara dalam saingan kelayakan.
Selain hukuman teknikal di atas padang, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000, bersamaan kira-kira RM196,119.
FAM Akan Tuntut Penjelasan AFC
Dalam masa sama, FAM tidak akan berdiam diri. Badan induk bola sepak negara itu akan mengemukakan permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC.
Langkah ini dilihat sebagai usaha awal sebelum menentukan tindakan susulan yang mungkin diambil oleh FAM berhubung kes ini.