Terengganu FC (TFC) berjaya membawa pulang satu mata berharga apabila mengikat kelab Australia, Central Coast Mariners 1-1 pada perlawanan kelima peringkat kumpulan Piala AFC 2023/24 di Stadim Industree Group hari ini.

Dalam perlawanan ini, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu agak tempang apabila beraksi tanpa 4 tonggak pertahanan seperti Azam Azmi Murad, Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan dan Alif Zakaria.

Baca Juga:

Malah, mereka juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah, Lirion Krasniqi.

Sejak dari minit pertama, TFC diuji menerusi percubaan berbahaya penyerang tuan rumah, Marco Tulio namun penjaga gol, Suhaimi Husin beraksi cemerlang menafikannya.

Benteng pertahanan TFC juga bermain dengan cukup berdisiplin sehingga memberi kesukaran kepada Central Coast Mariners untuk mencari gol pertama. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, TFC bangkit lebih garang di separuh masa kedua dan mereka berjaya menjaringkan gol pertama nenerusi tandukan Engku Shakir yang melantun ke belakang hasil sepakan sudut.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Central Coast Mariners kembali menyusun gerakan dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol TFC namun mereka masih buntu mendapatkan gol penyamaan.

Usaha tuan rumah melancarkan serangan bertali arus akhirnya membuahkan hasil apabila Di Pizio melepaskan rembatan dalam kawasan kotak penalti untuk gol penyamaan pada minit ke 87. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan seri itu meletakkan TFC kekal di tangga kedua kumpulan G dengan 9 mata sekaligus mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.

Mereka juga berpeluang jadi juara kumpulan jika mengutip 3 mata dalam perlawanan terakhir menentang Bali United pada 13 Disember nanti.