Tiga wakil akan membawa cabaran negara pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang berlangsung pada petang ini.

Juara dunia 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun masih menyalakan harapan untuk memburu kejuaraan saingan berstatus Super 1000 itu.

Diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei akan berhadapan dengan Tang Chun Man-Tse Ying Suet yang dibimbing Wong Choon Hann dan Jeremy Gan.

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Tang Jie dan Ee Wei memiliki kelebihan tipis 2-1 dimana aksi terakhir melibatkan kedua-dua pasangan pada suku akhir Terbuka Perancis memihak pasangan Hong Kong itu.

Suku Akhir
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Tugas berat menanti dua wakil dalam beregu lelaki apabila Aaron-Wooi Yik bertemu Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia manakala Wei Chong-Kai Wun pula bakal menghadapi cabaran hebat pasangan ranking pertama dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara dalam kejohanan ini adalah pada edisi 2018 menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei yang menundukkan Kento Momota pada aksi final.

Suku Akhir Terbuka Malaysia 2026

1) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lawan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong) – 5.30 Petang – Gelanggang 1

2) Man Wei Chong-Tee Kai Wun lawan Kim Won Ho-Seo Seung Jae (Korea Selatan) – 7.10 Malam – Gelanggang 1

3) Aaron-Wooi Yik lawan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (Indonesia) – 8.00 Malam – Gelanggang 1