Selepas hampir seminggu berdiam diri, Shuib akhirnya tampil memberikan penjelasan berhubung konflik yang tercetus antara dirinya dengan Jep.
Menerusi sebuah video, Shuib bukan sahaja memohon maaf secara terbuka, malah merayu agar kecaman terhadap isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaannya dihentikan.
Mengakui dirinya melalui tempoh yang sukar sejak isu tersebut menjadi perhatian ramai, Shuib berkata dia memilih untuk membaca kenyataan yang disediakan kerana bimbang kata-katanya disalah tafsir atau tersilap ketika bercakap.
“Assalamualaikum. Sebelum saya mula, saya nak minta maaf sebab hari ini saya kena membaca sebab saya takut kalau ada kata-kata saya yang disalah tafsirkan ataupun saya tersalah cakap,” katanya.
Menurut Shuib, dia sudah menghubungi Jep menerusi WhatsApp pada pagi Jumaat, tidak sampai sehari selepas kenyataan Jep dikeluarkan pada Khamis.
Dia mendakwa telah memohon maaf kepada Jep dengan penuh rendah diri atas kekhilafannya, termasuk tindakan menyindir sahabatnya itu dalam episod podcast bersama Azlee Senario.
“Saya telah pun WhatsApp Jep dengan penuh rendah diri memohon maaf di atas kekhilafan saya dan memandangkan saya menyindir dia di podcast episode bersama dengan Azlee Senario.”
Shuib berkata dia menganggap Jep sudah menerima mesej tersebut dan mungkin telah membacanya.
“Saya penuh kesal dan memohon maaf kepada dia berulang kali. Saya anggap ini ujian untuk saya dan balasan di atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, Shuib turut menjelaskan perkembangan pembayaran tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh syarikat Bubble Bee.
Menurutnya, syarikat tersebut sudah membuat pembayaran secara ansuran selama beberapa bulan dan usaha berkenaan akan diteruskan bagi menyelesaikan baki tunggakan.

Shuib turut memohon maaf kepada orang ramai yang berasa marah atau kecewa dengan tindakannya ketika muncul dalam podcast sebelum ini.
“Saya mohon maaf kepada semua yang mungkin marah dan rasa tak patut dengan apa yang saya telah buat di podcast.
“Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu berbuat salah, selalu buat dosa.”
Dia kemudian mengulangi permohonan maafnya atas kesilapan yang dilakukan.
“Jadi saya mohon maaf. Saya mohon maaf. Saya mohon maaf di atas kekhilafan saya.”
Bagaimanapun, Shuib turut menyuarakan rasa kesal apabila konflik tersebut turut mengheret ahli keluarganya ke dalam kecaman orang ramai.
Dia berkata segala kemarahan sepatutnya ditujukan kepadanya dan bukannya ahli keluarga lain serta perniagaan sah dan halal yang tidak terlibat dalam perkara tersebut.
“Saya halalkan dan maafkan kepada sesiapa sahaja yang mengecam, menghina atau memfitnah saya, isteri, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya.
“Saya anggap ini adalah ujian dan balasan di atas kekhilafan saya yang telah pun saya lakukan.”
Shuib turut merayu agar orang ramai menghentikan segala andaian, makian dan kecaman terhadap keluarganya.
“Saya mohon sangat-sangat, berhentilah membuat apa-apa lagi andaian, kecaman, makian ataupun fitnah ke atas saya, kepada isteri saya Wati, anak-anak, keluarga saya dan juga perniagaan saya.”
Dia menegaskan bahawa perniagaan Sepah Penyet, Bubble Bee dan Sambal Hitam merupakan sumber pendapatan keluarganya ketika ini.
Perniagaan tersebut juga menjadi antara usahanya untuk menyelesaikan hutang syarikat.
“Janganlah kerana marahkan saya, isteri, anak-anak dan keluarga saya terlibat. Mereka tidak bersalah. Saya yang bersalah dalam perkara ini.”
“Dan janganlah juga kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot sedangkan perniagaan saya sah dan halal,” katanya.
Namun, bahagian paling menyentuh dalam kenyataan itu adalah ketika Shuib menyampaikan permohonan maaf secara khusus kepada Jep.
Bercakap secara langsung kepada sahabatnya itu, Shuib mengakui hubungan mereka sudah terjalin selama bertahun-tahun dan menyimpan pelbagai kenangan sepanjang bersama.
“Kalau kau tengok video ni, Jep, aku mohon maaf. Aku mohon maaf, dok. Aku mohon maaf.”
Dia turut mengimbas kembali perjalanan persahabatan mereka yang menyaksikan kedua-duanya melalui pelbagai pengalaman, termasuk ketika susah dan senang serta kejayaan yang pernah dikecapi bersama.
“Kita kenal dekat 20 tahun hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah pun kita bina selama hidup.”
“Selama kita bekerjasama, susah senang yang kita pernah lalui, kejayaan yang pernah kita capai, ianya akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.”
Shuib sekali lagi mengakui kesilapan dirinya dan tidak menafikan bahawa keegoan turut menjadi sebahagian daripada kekhilafan yang berlaku.
“Aku minta maaf, aku minta maaf, aku minta maaf di atas kekhilafan aku dan juga keegoan aku.”
Dia turut mendoakan kesejahteraan Jep dan seluruh keluarganya, termasuk isterinya, Sari Yanti serta anak-anak mereka.
“Aku doakan kau, aku doakan kau Allah mudahkan segala urusan. Aku doakan kau dan juga keluarga engkau, isteri kau Sari Yanti, aku doakan anak-anak engkau, aku doakan keluarga engkau.”
“Allah mudahkan, Allah rahmat dunia dan akhirat.”
Mengakhiri kenyataannya, Shuib sekali lagi memohon maaf kepada Jep dan berharap segala masalah yang berlaku antara mereka dapat diselesaikan dengan baik.
“Semoga Allah akan uruskan segala permasalahan kita dengan baik. Aku minta maaf, Mohd Nazri bin Zainal Abidin. Assalamualaikum.”
Di ruangan komen, peminat dan rakan artis mendoakan yang terbaik untuk Jep dan Shuib agar mereka dapat menjernihkan semula keadaan.
Terdahulu, Jep menerusi kenyataannya meminta Shuib berhenti memburukkan namanya menerusi podcast dan membangkitkan isu tunggakan caruman KWSP pekerja.