Hanya tiga daripada lapan wakil negara berjaya melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan badminton All England 2026.

Dua pasangan yang merupakan pilihan kedua kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah masih meneruskan perjuangan mereka dalam usaha memburu kejuaraan.

Aaron-Wooi Yik diberikan cabaran hebat rakan senegara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King yang diheret hingga ke aksi set penentuan sebelum mencatatkan kemenangan sukar 21-15, 18-21, 21-18.

Suku Akhir
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Menanti mereka di suku akhir malam nanti ialah satu lagi pasangan negara iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Wei Chong-Kai Wun beraksi cemerlang untuk menundukkan pasangan Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-14, 21-18.

Dengan aksi ‘perang saudara’ yang bakal berlangsung, satu slot ke separuh akhir sudah pasti menjadi milik Malaysia.

Wakil Malaysia
Kredit Foto: Jade Gao / AFP

Sementara itu, Pearly-Thinaah turut tidak terlalu berdepan masalah untuk menumbangkan Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan dengan kemenangan 21-14, 21-14.

Berikut merupakan jadual perlawanan bagi peringkat suku akhir melibatkan wakil Malaysia di All England 2026:

Suku Akhir All England 2026

1) Aaron Chia-Soh Wooi Yik lawan Man Wei Chong-Tee Kai Wun – 8.00 malam – Gelanggang 2

2) Pearly Tan-M. Thinaah lawan Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari (Indonesia) – 1.00 pagi – Gelanggang 2