Lapan daripada 16 wakil Malaysia yang beraksi dalam kejohanan badminton All England 2026 berjaya melangkah ke pusingan 16.

Lima daripadanya merupakan wakil negara dalam sektor beregu lelaki yang diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pasangan ranking kedua dunia itu bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah sebelum berjaya menundukkan gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-17, 21-17.

All England 2026
Kredit Foto: Sun Fei / Xinhua via AFP

Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menewaskan Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen dari Chinese Taipei 21-17, 21-18.

Kecemerlangan itu diteruskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menundukkan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-10, 21-15.

Gandingan Wan Arif Junaidi-Yap Roy King dan Kang Khai Xing-Aaron Tai juga tidak menghampakan selepas mempamerkan aksi bertenaga menewaskan lawan dari Eropah.

Arif-Roy King mengharungi tiga set untuk menundukkan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 21-19, 18-21, 21-18 manakala Khai Xing-Aaron mengejutkan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 23-21, 21-12.

Wakil Malaysia
Kredit Foto: Jade Gao / AFP

Tiga lagi wakil negara di All England terdiri daripada Leong Jun Hao, Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.

Berikut merupakan jadual perlawanan bagi pusingan 16 melibatkan wakil Malaysia di All England 2026:

Pusingan 16 All England 2026

1) Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai lawan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin (China) – 6.50 petang – Gelanggang Minoru Yoneyama

2) Kang Khai Xing-Aaron Tai lawan Chen Bo Yang-Liu Yi (China) – 9.30 malam – Gelanggang 3

3) Leong Jung Hao lawan Koki Watanabe (Jepun) – 10.20 malam – Gelanggang 3

4) Man Wei Chong-Tee Kai Wun lawan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin (Chinese Taipei) – 11.00 malam – Gelanggang 2

5) Pearly Tan-M. Thinaah lawan Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo (Korea Selatan) – 11.50 malam – Gelanggang Minoru Yoneyama

6) Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani lawan Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat (Indonesia) – 12.00 pagi – Gelanggang 3

7) Aaron Chia-Soh Wooi Yik lawan Wan Arif Junaidi-Yap Roy King – 1.30 pagi – Gelanggang 2