Pemain Tottenham Hotspur, Andy Robertson berkongsi sisi emosi yang menyayat hati mengenai keadaan di kelab lamanya, Liverpool selepas pemergian tragis mendiang Diogo Jota pada 2025.

Robertson mendedahkan bahawa keadaan mental skuad ketika itu begitu terkesan sehingga bola sepak bukan lagi menjadi perkara utama, dalam tempoh yang disifatkannya sebagai sesuatu yang benar-benar ‘mengerikan’ buat semua yang terlibat.

Liverpool diselubungi suasana dukacita susulan pemergian mengejut Jota pada 2025, satu tragedi yang berlaku tidak lama selepas kelab itu dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris pada musim sebelumnya.

Luis Diaz
Kredit Foto: MIGUEL RIOPA / AFP

Berita menyayat hati tersebut memberi kesan besar kepada skuad dan mengganggu persiapan mereka untuk mempertahankan kejuaraan.

Arne Slot yang ketika itu merupakan ketua jurulatih pasukan pada dasarnya membatalkan rutin latihan pramusim seperti biasa, sekali gus memberi ruang kepada pemain yang sedang berduka untuk memilih tidak menyertai sesi latihan.

Kesan emosi yang begitu mendalam itu akhirnya menjejaskan prestasi Liverpool di atas padang ketika mereka cuba mempertahankan kejuaraan.

Skuad tersebut kehilangan kelebihan daya saing menyebabkan kedudukan mereka merosot dengan ketara daripada juara kepada tempat kelima yang mengecewakan.

Susulan itu, Slot disingkirkan daripada jawatannya pada jendela perpindahan musim panas berikutnya.

Andy Robertson Dedah Keadaan Kem Liverpool Selepas Pemergian Jota

Sehubungan dengan itu, Andy Robertson tampil menggambarkan suasana suram yang menyelubungi Anfield sepanjang tempoh tersebut.

“Memang sukar untuk digambarkan atau diceritakan. Apa yang kami lalui benar-benar mengerikan,” jelas pemain antarabangsa Scotland itu menurut sumber laporan Goal.

Menurutnya, proses mengintegrasikan pemain baharu seperti Alexander Isak dan Florian Wirtz ke dalam pasukan juga menjadi amat sukar apabila mereka menyertai sebuah kelab yang masih dibelenggu kesedihan.

“Saya sangat bersimpati dengan pemain-pemain ini kerana mereka menyertai kelab dengan nilai perpindahan yang besar, tetapi mereka mengambil masa berbulan-bulan untuk menyesuaikan diri.”

Luis Diaz
Kem Liverpool yang hadir ke upacara pengebumian Diogo Jota. Kredit Foto: FILIPE AMORIM / AFP)

Kesan tragedi itu begitu mendalam sehingga tanggungjawab profesional seakan-akan diketepikan buat sementara waktu.

“Itulah hakikatnya, kami tidak mempedulikan bola sepak kerana baru sahaja kehilangan salah seorang sahabat baik kami di bilik persalinan.”

“Apabila saya melihat kembali perkara itu sekarang, saya rasa kami sedikit kehilangan keazaman kerana ada ketika kami mungkin terfikir, ‘apa gunanya?’ Lihat apa yang sedang dilalui keluarga Jota, lihat anak-anaknya,” tambah Andy Robertson lagi.

Sumber