Pihak berkuasa China bertindak membatalkan dua aksi persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan Argentina yang dijadualkan berlangsung di negara itu pada bulan Mac ini.

Argentina merancang untuk mengadakan aksi persahabatan menentang Nigeria dan Ivory Coast di Stadium Olimpik Hangzhou, China.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Laporan daripada CNN menyebut Lionel Messi adalah punca utama yang menyebabkan pembatalan perlawanan itu gara-gara kerana ‘scam’ peminat di Hong Kong.

Tanpa merujuk kepada apa sebenarnya yang berlaku, Biro Sukan Hangzhou berkata dalam satu kenyataan, menyifatkan pembatalan itu atas faktor yang telah diketahui oleh semua orang.

“Disebabkan sebab-sebab yang diketahui oleh semua, kami telah mendapat maklum balas daripada pihak pengendali perlawanan untuk tidak meneruskan perlawanan ini,” katanya.

Messi berdepan cemuhan dan pelbagai kritikan selepas dia hanya berada di bangku simpanan semasa perlawanan persahabatan yang menampilkan pasukan kelabnya, Inter Miami di Hong Kong minggu lalu.

Seramai 40,000 orang telah menghadiri perlawanan itu di Hong Kong dan mengharapkan dapat melihat aksi pemain bola sepak terbaik dunia itu di atas padang.

Namun, mereka hampa dan mengamuk menjerit minta pihak penganjur membayar balik duit tiket selepas Messi gagal diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Ikon Argentina berusia 36 tahun itu bergelut dengan kecederaan hamstring yang menyaksikan dia hanya beraksi tujuh minit ketika pasukannya tewas 0-6 di tangan pasukan Cristiano Ronaldo, Al-Nassr.

Bekas kapten England, David Beckham yang berada di Hong Kong untuk aksi pra musim Inter Miami  turut diejek hampir 40,000 penonton yang mahukan bayaran balik tiket yang dibeli mereka.