Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya anak buahnya masih mampu untuk merangkul gelaran juara English Premier League (EPL) 2025/26 meskipun jurang dengan Manchester City semakin hampir susulan kekalahan dialami awal pagi tadi.

Manchester City yang masih kekurangan satu perlawanan berbanding Arsenal hanya tiga mata dibelakang pendahulu liga tersebut.

Kemenangan ke atas Burnley pada pertengahan minggu ini akan menyaksikan The Cityzens menyamakan pungutan mata Arsenal (70 mata).

Arteta Yakin Arsenal Mampu Juarai EPL, Tapi Akui ‘Kami Pasukan Paling Banyak Bermain’
Kredit Foto: Darren Staples / AFP

Satu keadaan yang pastinya membuatkan kem The Gunners sedikit tertekan apatah lagi selepas ini mereka akan melayani kunjungan Newcastle United.

Arteta Tetap Optimis Peluang Arsenal

Namun bagi Arteta, beliau masih mempercayai kemampuan anak buahnya untuk menjelmakan kegembiraan buat peminat Arsenal.

“Kami berjaya mencipta peluang yang kami rasa kami mampu hasilkan. Ada satu situasi di mana Kai (Havertz) berada dalam kedudukan onside di garisan tengah dan bebas untuk situasi satu lawan satu. Kami berjaya buat begitu.”

“Namun, kami berada di tahap sekarang adalah kerana pasukan ini yang membawa kami ke sini. Itulah tahap yang anda perlu ada untuk menang,” ujar Arteta menurut sumber laporan Sky Sports.

“Terdapat beberapa peluang besar di depan gol, seperti yang kami perolehi menentang mereka, di mana anda perlu jaringkan gol tersebut jika mahu pulang dari Etihad dengan tiga mata.”

“Memang ada pergelutan dan intensiti yang tinggi, itu memang sudah dijangka. Sebahagian daripada perlawanan tadi ada banyak persamaan dengan 28 minit pertama final piala tempoh hari. Kami ada dua peluang besar untuk mendahului. Tapi kami gagal, dan itu mengubah hala tuju perlawanan.

“Kami fokus satu demi satu perlawanan. Kami ada detik yang sangat baik beberapa hari lepas dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Sporting.”

Arteta Yakin Arsenal Mampu Juarai EPL, Tapi Akui ‘Kami Pasukan Paling Banyak Bermain’
Kredit Foto: Darren Staples / AFP

“Kami bermain terlalu banyak perlawanan. Kami adalah satu-satunya pasukan yang asyik bermain, bermain, bermain dan terus bermain. Tapi perkara positifnya ialah kita sudah lihat tahap kemampuan kita, kita mampu bersaing, malah boleh buat lebih baik lagi.

“Ada baki lima perlawanan lagi, dan kami akan berjuang habis-habisan.

“Kami yakin sepenuhnya kami boleh melakukannya [muncul juara EPL]. Hari ini kami telah tunjukkan siapa kami yang sebenarnya. Semuanya masih dalam tangan kami, dan ia tersedia untuk kami rebut,” tambah beliau lagi.

Sumber