Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Walaupun Malaysia berada di tangga ke-3 Asia bagi negara yang penduduknya pandai berbahasa Inggeris, ia bukan tiket untuk warganegaranya untuk tidak fasih bertutur dalam bahasa ibunda.

Beberapa hari lalu tular tentang seorang wanita yang mempertikaikan tindakan seorang pekerja imigresen yang meninggikan suara kepada anaknya yang tidak pandai cakap Bahasa Melayu ketika pergi memperbaharui pasport anaknya.

Baca Juga:

Semalam, tular pula kenyataan seorang artis di Twitter yang turut mempertikaikan mengapa Bahasa Malaysia perlu diwajibkan untuk setiap warganegara Malaysia.

“Saya dilahirkan di Malaysia, tinggal di Malaysia selama 20 tahun dan tidak boleh berbahasa Malaysia kerana saya pergi ke sekolah swasta dan diajar kurikulum Cambridge.

Adakah ini membuatkan saya ‘kurang’ Malaysia? Adakah bahasa yang saya tuturkan atau tahu mencerminkan sama ada saya seorang rakyat Malaysia?” tulisnya.

‘Luahan’ tersebut ternyata tidak menerima respons yang dijangkakan oleh artis tersebut dan rata-rata tidak bersetuju dengan pandangan artis tersebut.

Seorang pengguna Twitter membalas selepas tinggal 20 tahun di Malaysia dan masih tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia, ia adalah satu bentuk keangkuhan.

Ada juga yang turut membandingkan pekerja asing yang mencari rezeki di Malaysia fasih bertutur Bahasa Malaysia dengan baik walaupun tinggal di Malaysia tidak sampai setahun. Untuk seseorang yang membesar lebih 20 tahun dan masih tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia, ada sesuatu yang perlu dibetulkan.

Memetik penulisan Fazeera Jaafar (Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) dan Usamah Mohd Ridzuan (Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa UiTM) di Bernama, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat mencerminkan rasa kebanggaan, jati diri dan semangat kenegaraan seseorang. Sehubungan itu, penting untuk kita mengambil tahu peri dan mengenali bahasa kebangsaan.