Beberapa tahun lalu, Unai Emery melangkah masuk ke Villa Park dan terus mengisytiharkan bahawa beliau hadir ke Aston Villa untuk memenangi trofi.

Dalam sidang media pertamanya pada November 2022, cita-cita pengendali dari Sepanyol itu sangat jelas. Selepas lebih tiga tahun, Villa kini hampir mencapainya.

Kini Villa berpeluang untuk nenamatkan kemarau trofi 30 tahun kelab itu apabila mereka mara ke final UEL yang turut diusik peminat sebagai Unai Emery League. Mana tidaknya, Unai Emery pengurus terbanyak memenangi trofi ini.

Kelab Jerman, Freiburg lawan mereka di final yang akan dilangsungkan di Istanbul pada 20 Mei.

Pada aksi separuh akhir kedua menentang Nottingham Forest, pasukan Unai Emery berjaya menang mudah dengan membelasah lawan mereka itu 4-0.

Dua gol lewat John McGinn selepas gol Ollie Watkins dan Buendia, melengkapkan persembahan dominan Villa yang terlalu kuat untuk disaingi Nottingham Forest.

Pengurus Forest, Vitor Pereira, dapat menyenaraikan Morgan Gibbs-White, Ibrahim Sangare dan Murillo di bangku simpanan, namun kesemuanya tidak cergas sepenuhnya.

Putera William turun ke bilik persalinan selepas perlawanan untuk mengucapkan tahniah.

“Mereka (para pemain) sangat fokus, mereka faham momentum permainan,” kata Emery.

Dia menambah lagi: “Kami merancang dari sudut emosi dan bagaimana kami mahu bermain dalam perlawanan ini. Ini satu-satunya perlawanan yang kami hadapi dalam keadaan seperti ini.

“Peluang untuk mara ke final adalah detik yang sangat penting buat kami di sini. Kami yakin dengan sokongan penyokong dan suasana yang mereka cipta.”

Ini akan menjadi final Europa League keenam buat Emery dengan rekod empat kemenangan — yang juga merupakan rekod terbaik — dan satu kekalahan, ketika beliau mengendalikan Arsenal menentang Chelsea pada tahun 2019.

“Eropah sangat penting,” kata Emery lagi.

“Dalam sidang media pertama saya di sini, saya bercakap mengenai Eropah dan juga trofi, tetapi ia sangat sukar. Memenangi trofi bukan sesuatu yang mudah.

“Di Eropah, sukar untuk kekal konsisten seperti yang kami lakukan sekarang. Semua ini hadir hasil kerja keras kami dan para pemain perlu menetapkan standard yang kami mahu capai.

“Hari ini para pemain memberikan yang terbaik, secara individu dan juga berpasukan.”