Gary Neville memberikan nasihatnya kepada Arsenal selepas kelebihan mereka di puncak English Premier League (EPL) 2025/26 kini hanya beza dua mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City.
The Gunners yang dianggap sebagai pilihan utama untuk memenangi liga buat pertama kali dalam lebih 20 tahun mempamerkan prestasi tidak menentu kebelakangan ini dimana meraih satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan pada tiga aksi terakhir liga.
Baca Juga:
- Alan Shearer & Gary Neville Sepakat Pilih Arsenal Calon Utama Juara EPL 2025/26

- Cadangan Revolusi EPL Disuarakan Gary Neville Ini Pernah Dipraktikkan Dalam Liga Malaysia 1999

- Carragher: Hanya Diri Sendiri Sahaja Mampu Halang Arsenal Muncul Juara EPL

Selepas seri 1-1 bertemu Chelsea yang beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-38, skuad kendalian Mikel Arteta itu menewaskan Brentford 2-0 dan kemudiannya tewas 1-2 ketika berhadapan dengan Aston Villa.
Keadaan tersebut sekali gus memberikan ruang buat Manchester City untuk semakin merapatkan jurang dan memberikan tekanan hebat buat The Gunners.
Nasihat Neville Buat Arsenal
“Itu perlawanan yang kamu memang boleh kalah. Saya langsung tak akan panik kalau saya berada di tempat Arsenal selepas keputusan itu.”
“Kamu memang akan tewas satu dua perlawanan, itu normal, dan kamu juga akan menang banyak perlawanan,” ujar Neville menurut sumber laporan Goal.
“Mereka mungkin risau sebab Manchester City sudah dua mata sahaja di belakang tetapi Arsenal sebenarnya melalui minggu yang sangat sukar.”
“Boleh kata ini minggu paling mencabar untuk Arsenal musim ini, bertandang ke Chelsea, kemudian Brentford di tempat sendiri, lepas itu ke Villa Park.”
“Mereka juga tahu yang Manchester City akan melalui minggu-minggu susah seperti itu pada masa tertentu musim ini. Jadi saya tak rasa ini masa untuk panik.”
“Tapi sudah tentu Arsenal kini rasa ‘hembusan’ di belakang leher mereka daripada Manchester City dan Pep Guardiola. Dan saya rasa City akan berfikir: ‘Kalau kita boleh kekal dekat macam ini sampai April atau Mei, tengoklah apa mereka mampu buat’.
“Itulah yang City perlu lakukan, kekal rapat, sentiasa mengekori dari belakang dan uji apa yang Arsenal ada, apa mereka mampu buat dan bagaimana mereka bertahan dalam perlumbaan kejuaraan sebenar sekali lagi.”