Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mengumumkan nama atlet yang dipilih mengisi tiket wild card ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada hari esok.

Dua nama yang berada dalam pertimbangan badan induk itu ialah jaguh pecut, Muhammad Azeem Fahmi dan pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy.

Baca Juga:

Kedua-dua mereka merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 namun gagal melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Sebelum ini, badan Olahraga Dunia memberikan dua slot wild card, satu untuk atlet lelaki dan satu wanita. Namun, kali ini mereka hanya memberikan satu slot wild card dan khusus untuk acara 100m, 800m dan maraton.

Situasi itu menyebabkan KOM memerlukan masa untuk membuat keputusan kerana kedua-dua atlet tersebut memang layak berdasarkan prestasi mereka dalam kejohanan yang disertai.

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada 2022.

Shereen pula awal bulan ini memperbaharui rekod kebangsaan 400m miliknya menerusi catatan 51.79s ketika melakukannya di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kebanyakan peminat sukan meramalkan slot wild card akan menjadi milik Azeem kerana ia melibatkan acara utamanya iaitu 100m.

Mengulas lanjut, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan ada satu atau dua perkara yang memerlukan penelitian badan induk itu sebelum memutuskan atlet yang akan dipilih.

“(Jika dipilih) Azeem akan berlari dalam 100m, acara utamanya manakala Shereen yang beraksi dalam 400m perlu berlari dalam 100m dengan catatan peribadi terbaiknya musim ini, 11.61 saat.

“Azeem dan Shereen akan menyertai Sukan Universiti ASEAN di Surabaya pada 2 Julai ini. Namun, kami tidak menggunakan prestasi mereka di temasya itu untuk membuat pemilihan kerana tarikh tutup kelayakan Olimpik adalah pada 30 Jun,” jelas Shahidan dipetik dalam Berita Harian.