Tabiat segelintir individu yang gemar menghidu bau minyak petrol boleh mengundang risiko kesihatan yang serius berikutan kandungan bahan kimia beracun di dalam bahan api berkenaan.
Isu tersebut menarik perhatian ramai menerusi satu hantaran di platform Threads apabila seorang pengguna mempersoalkan sama ada kecenderungan menyukai bau petrol merupakan satu perkara yang normal.
Mengulas persoalan itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain atau lebih popular dikenali sebagai Pak Cik Shell tampil memberi amaran supaya orang ramai tidak menghidu bau bahan api berkenaan.
Ini kerana ia mengandungi benzena yang bertindak sebagai racun kepada sistem saraf manusia.
Menurut beliau, pendedahan secara tidak sengaja dalam kadar yang sedikit dan jarang berlaku tidak mendatangkan masalah, namun pendedahan secara berterusan dalam tempoh masa yang panjang amat berbahaya.
View on Threads
“Jangan! Benzena dalam petrol adalah racun kepada saraf kita. Sedikit dan jarang-jarang tidak mengapa, namun pendedahan berterusan untuk jangka masa panjang tidak boleh.
“Sebab itu pekerja di terminal minyak perlu memakai topeng pernafasan (respirator),” jelasnya menerusi ruangan balas di platform berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan serta mengelak daripada menyedut wap petrol secara sengaja ketika mengisi minyak demi melindungi kesihatan saraf dalam jangka masa panjang.