Malaysia mara ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah 2026 selepas mencatatkan keputusan seri 5-5 bertemu Pakistan pada aksi terakhir peringkat kumpulan sebentar tadi.

Keputusan seri itu sudah cukup buat skuad kendalian Brendan Carolan yang menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan kedua berbekalkan kelebihan perbezaan jaringan.

Azrai Aizad Abu Kamal tidak menunggu lama untuk menggamatkan Stadium Azlan Shah, Ipoh selepas anak jati Perak itu menguis masuk bola hasil hantaran Faizal Saari untuk meletakkan skuad negara dihadapan seawal minit ketiga.

Kelebihan itu terpadam berselang 10 minit kemudian selepas Ahmad Nadeem menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol skuad negara.

Ahmad Nadeem terus cemerlang dengan jaringan kedua pada minit ke-15 juga menerusi jaringan padang untuk memberikan kelebihan buat Pakistan.

Ribuan penyokong negara kembali melonjak kegembiraan pada minit ke-20 apabila ketua pasukan, Marhan Jalil meledakkan jaringan hasil pukulan sudut penalti.

Aksi kemudiannya lebih mendebarkan selepas Pakistan menambah dua jaringan padang menerusi Muhammad Ammad (minit ke-32) dan Shahid Hannan (minit ke-48) bagi menjadikan kedudukan 4-2.

Dua jaringan itu langsung tidak merentap semangat juang pemain negara. Ia dibuktikan dengan dua jaringan pantas daripada Faizal Saari pada minit ke-50 yang sekali gus mengikat kembali kedudukan.

Kem negara kembali tersentak pada minit ke-57 susulan jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Sufyan Khan. Namun hanya seminit berselang, Faizal Saari menyempurnakan pukulan penalti ‘stroke’ untuk memastikan kemaraan skuad negara ke pentas final.

Skuad negara akan berhadapan dengan Australia pada aksi final yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, jam 8 malam.