Aston Villa menerima tamparan menjelang kempen baharu Liga Perdana Inggeris selepas penyerang remaja, Brian Madjo mengalami kecederaan ketika aksi Piala Super UEFA.

Penyerang berusia 17 tahun itu yang mencipta sensasi dengan menjaringkan gol pada penampilan kompetitif pertamanya menentang Paris Saint-Germain, kini dijangka berehat daripada aksi sehingga sekurang-kurangnya September.

Malang Menimpa Madjo

Pemain kelahiran United Kingdom itu mencuri tumpuan menerusi penampilan kompetitif pertamanya apabila meledak satu-satunya gol Villa, sekali gus menjadi penjaring termuda dalam sejarah pertandingan tersebut.

Namun, kecederaan yang dialami pastinya menjadi tamparan hebat buat pengendali Unai Emery, lebih-lebih lagi hanya seminggu sebelum kempen Liga Perdana Inggeris musim baharu akan bermula.

Kehilangan penyerang yang mencuri tumpuan sepanjang aksi pramusim itu memaksa Emery segera menyusun semula pilihan serangannya menjelang minggu-minggu awal kempen baharu.

Selain terlepas aksi pembukaan menentang Brighton, Madjo juga dijangka tidak dapat beraksi ketika berdepan Arsenal, selain perlawanan menentang Hull City, Nottingham Forest dan Tottenham pada 19 September.

Menurut sumber laporan Goal, situasi kecemasan itu menyaksikan Ollie Watkins menjadi tonggak utama di jentera serangan, manakala Tammy Abraham kini merupakan satu-satunya penyerang tengah senior lain yang boleh diharapkan untuk memikul tanggungjawab menjaringkan gol.

Selain itu, Emery juga turut berdepan masalah di posisi tengah. Hal ini kerana pemain baharu mereka, Joao Gomes turut mengalami kecederaan susulan aksi menentang PSG, sekali gus menyaksikan pemain tengah itu dijangka diketepikan selama dua hingga empat minggu.

Ketiadaannya membuatkan pilihan cukup terhad buat Emery di bahagian tengah yang sebelum ini sudah pun kehilangan Amadou Onana selepas pemain Belgium itu mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika Piala Dunia.

Situasi berkenaan menyebabkan barisan tengah Villa kelihatan semakin terhad menjelang sepak mula kempen baharu, lebih-lebih lagi selepas pemain kreatif utama mereka, Youri Tielemans meninggalkan kelab untuk menyertai Manchester United pada jendela perpindahan musim panas.

Sumber