Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge membidas pemain yang mengadu mereka letih kerana terpaksa beraksi dalam banyak perlawanan dalam satu musim.

Beberapa pemain ternama di Eropah telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana terpaksa beraksi lebih dari 60 perlawanan dalam satu musim.

Baca Juga:

Antara pemain yang bersuara adalah Rodri dan Manuel Akanji (Manchester City) serta Jules Kounde (Barcelona).

Bekas CEO Bayern Munich iaitu Rummenigge mempunyai jawapam yang dianggap sesuai bagi masalah yang dihadapi oleh kebanyakan pemain di Eropah ketika ini.

“Pemain dan ejen seolah-olah masuk ke dalam perangkap yang mereka bina dengan meminta gaji dan imbuhan yang besar terhadap kelab. Ini memaksa kelab mencari lebih banyak dana untuk membayar mereka.

“Mana nak cari dana? Sudah tentu melalui perlawanan. Lebih banyak perlawanan, lebih banyak pendapatan yang diperoleh oleh kelab.

“Saya mencadangkan semua pihak agar berbincang mengenai masalah ini. Cari jalan penyelesaian yang adil kepada pemain dan juga pihak kelab yang menjalankan perniagaan,” katanya.

Musim lalu, Rodri beraksi sebanyak 63 perlawanan bersama kelab dan juga skuad kebangsaan dimana beliau memenangi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan UEFA Euro 2024.

Menurut laporan Fifpro baru-baru ini mengenai beban kerja pemain, Rodri dimasukkan dalam 72 skuad hari perlawanan untuk kelab dan negara, termasuk perlawanan persahabatan pramusim, antara Julai 2023 dan Julai 2024 – berjumlah 6,107 minit di atas padang.

Rodri bermain lebih daripada 550 minit untuk Sepanyol di Euro 2024, beraksi dalam setiap tujuh perlawanan sehingga mengalami kecederaan pada separuh masa ketika perlawanan akhir pada 14 Julai.

Dia kembali beraksi pada 8 September untuk negaranya dalam perlawanan Liga Negara-Negara menentang Switzerland sebelum mengalami kecederaan lutut ketika bermain untuk City menentang Arsenal pada 22 September.

Pemain pertahanan Switzerland dan Manchester City, Manuel Akanji pula menegaskan dia mungkin perlu bersara pada usia 30 tahun kerana jadual perlawanan yang padat, manakala penjaga gol Liverpool, Alisson juga telah mengadu mengenai beliau dan rakan sepasukan kekurangan rehat kerana jadual padat sepanjang musim.