Seorang jurulatih berpengalaman dari Australia, Ross Aloisi kini disebut-sebut antara calon yang berada dalam radar Selangor FC (SFC) sebagai pembantu pengendali baharu, Nidzam Jamil.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SFC (SFC) Dr Johan Kamal Hamidon mengatakan calon tersebut ialah bekas pemain Australia yang pernah beraksi di Liga Malaysia suatu ketika dahulu bersama Nidzam Jamil.

Baca Juga:

“Nidzam sedang meneliti resume, kita memberi mandat dan tanggungjawab ini kepada Nidzam untuk memilih sendiri siapa yang perlu ada dalam barisan beliau.

“Ada beberapa calon, berkemungkinan ketua jurulatih akan bawa masuk seorang penolong jurulatih dari luar negara, antaranya beliau (calon) pernah menjadi pemain di Malaysia zaman Nidzam bermain, dari Australia,” katanya dipetik dalam Bernama. 

Ross Aloisi kini bersama Kelab Liga Super China, Shanghai Port.

Berdasarkan rekod, Ross Aloisi menyertai Selangor pada musim 2004 ketika zamannya sebagai pemain. Ketika itu, Nidzam Jamil turut berada dalam skuad Gergasi Merah yang dilatih oleh Ken Worden.

Aloisi kini bertugas sebagai pembantu jurulatih kepada Kevin Muscat dengan kelab Liga Super China, Shanghai Port. Mereka berdua juga pernah mengendalikan kelab J-League, Yokohama F. Marinos pada musim 2022.

Yokohama F. Marinos turut beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) dimana mereka muncul sebagai juara kumpulan H dan mara ke pusingan kalah mati.

Aloisi kemudian pulang ke Australia dan dilantik sebagai pengendali Brisbane Roar pada musim 2023 sebelum letak jawatan untuk menyertai Kevin Muscat di China.

Pengalaman luas Aloisi dalam bola sepak Asia pasti ditagih oleh Nidzam Jamil untuk membantunya mengharungi saingan AFC Champions League (ACL) 2 pada musim ini.

Bagaimanapun, setakat ini ia hanya khabar angin dan sebarang pengumuman rasmi akan dibuat oleh Selangor FC dalam masa terdekat sebelum musim baharu Liga Super bermula.