Tealive, jenama teh boba yang cukup dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia. Mesti ada daripada anda yang belum mengenali individu disebalik jenama Tealive, bukan?

Adakah anda tahu bahawa Bryan Loo yang merupakan pengasas Tealive adalah individu yang merevolusikan industri minuman di Malaysia?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pendorong memulakan jenama Tealive

Bryan dibesarkan di sebuah lot kedai tiga tingkat dimana tingkah bawah digunakan oleh ibu bapanya untuk perniagaan penghawa dingin mereka. Beliau memperoleh pengetahuan tentang pengurusan perniagaan dengan sentiasa memerhatikan cara kerja ibu bapanya.

Walaupun memiliki minat yang besar dalam bidang keusahawanan, Bryan memilih untuk menyambung pelajaran dalam jurusan bioteknologi di Universiti Monash, Melbourne.

Selepas berjaya menamatkan pengajian, Bryan bekerja di sebuah firma bioteknologi sebelum melibatkan diri dalam industri makanan dan minuman sekitar empat tahun kemudian.

Menurut Bryan, idea untuk membuka perniagaan minuman boba di Malaysia bermula apabila teman wanitanya, Sally Quah memperkenalkan teh boba yang dinikmatinya semasa di Australia lalu memberikan inspirasi kepada Bryan.

Perjalanan keusahawanan

Pada tahun 2010, beliau mengasaskan Chatime Malaysia dimana berjaya mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia dengan cepat dan berkembang memiliki lebih 100 cawangan di seluruh Malaysia menjelang 2016.

Akan tetapi, krisis berlaku pada 2017 apabila terjadinya pertikaian antara Chatime Malaysia dan francaisor Taiwannya menyebabkan perjanjian francais itu ditamatkan. Kemudian, Bryan memutuskan untuk menjenamakan dan melancarkan semula perniagaan teh bobanya di bawah nama Tealive.

Cabaran awal mengasaskan Tealive

Cabaran awal tentulah untuk membezakan jenama Tealive daripada Chatime selepas penamatan francais tersebut oleh francaisor La Kaffa International Co Ltd dari Taiwan.

Setelah penamatan francais tersebut, Bryan bermatlamat untuk mengukuhkan status Tealive dalam pasaran dimana beliau ingin menjadi jenama yang melindungi yang lemah dan tidak takut kepada yang kuat.

“Kami juga ingin menjadi jenama yang sentiasa seiring dengan perubahan. Kami komited pada visi kami untuk memupuk budaya minuman teh gaya hidup dan akan terus menghasilkan kreativiti dan inovasi kami.” ujar Bryan.

Berpegang pada janji jenama ‘Always More Than Tea’, Tealive akan terus menginovasi minuman teh yang unik, menjadikan pengalaman menikmati minuman teh lebih daripada sekadar minuman biasa.

Penggemar teh sentiasa menantikan Kempen ‘Breakthrough’ dimana akan ada cita rasa baru yang akan membolehkan Tealive bersaing dalam pasaran secara kompetitif.

Rancangan masa depan dan legasi

Kini, Tealive telah menjadi jenama teh gaya hidup terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara. Dengan lebih daripada lima juta pelanggan setiap bulan dari lebih 900 cawangan di Malaysia, Tealive telah berjaya memperluas pasarannya ke Filipina, Vietnam, Myanmar, Australia, Kemboja, Brunei, Mauritius, dan Kanada.

Dengan adanya kilang boba bernilai RM10 juta yang baru-baru ini dilancarkan, Tealive komited untuk memastikan bekalan bahan minuman mencukupi sepenuhnya dengan meningkatkan pengeluaran hingga 300 tan sebulan. Bukan itu sahaja, Tealive juga akan memberi tumpuan pada perluasan jenama Tealive ke negara-negara baru.

Pada tahun ini, Tealive telah berkembang ke tiga pasaran baharu. Selain cawangan-cawangan popular seperti Tealive dan Bask Bear, Loob Holding Sdn Bhd turut memiliki perancangan perniagaan yang lebih luas dan eksklusif.

Tidak terhad kepada minuman teh dan kopi, Loob Holding Sdn Bhd juga memiliki portfolio produk yang menarik seperti WonderBrew Kombucha dan Sodaxpress.

Matlamat bagi tahun 2024 bagi Tealive adalah untuk mencapai pembukaan 1,000 cawangan, sementara bagi Bask Bear, Loob
Holding Sdn Bhd berhasrat untuk menambah 100 lagi jumlah lokasi yang sedia ada iaitu 118 cawangan fizikal dan 120 cawangan maya.

Nasihat kepada anak muda yang mahu berkecimpung dalam industri makanan dan minuman

Buat anda yang mahu berkecimpung dalam industri ini, anda haruslah kekalkan semangat keusahawanan anda dan kejar impian anda.

Jika sudah berada di puncak kejayaan, tetaplah bersikap rendah diri. Kehidupan ini penuh dengan pasang surut dan sikap merendah diri akan membimbing anda melalui setiap cabaran dan kejayaan.

Pastinya perjalanan Bryan dalam merevolusikan industri minuman di Malaysia memberikan inspirasi kepada anak muda untuk menceburi bidang keusahawanan.

Jangan pernah takut untuk mencuba memulakan bisnes pertama anda kerana tanpa langkah pertama, anda tidak akan tahu seberapa jauh anda boleh melangkah.