Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan pelantikan Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Perkembangan terkini tersebut disahkan FAM dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan laman sesawang rasmi badan induk bola sepak negara itu sebentar tadi.
Bojan Hodak Jadi Pilihan FAM
Pengendali kelahiran Zagreb, Croatia itu dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak Asia Tenggara selain memiliki rekod pencapaian membanggakan sepanjang karier kejurulatihannya.
Nama Bojan Hodak bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila beliau pernah mengendalikan beberapa kelab Malaysia termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC.
Beliau juga pernah diberi kepercayaan membimbing skuad Malaysia Bawah 19 Tahun dari 2017 hingga 2019.
Antara kejayaan paling diingati Hodak di Malaysia adalah ketika membimbing Kelantan melakar sejarah dengan merangkul tiga kejuaraan utama pada 2012 iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Pengendali berusia 55 tahun itu kemudian membantu JDT menjulang trofi Liga Super 2014 sebelum mencipta satu lagi pencapaian bersama Kuala Lumpur City FC menerusi kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC 2022.
Di peringkat antarabangsa, Bojan Hodak turut membuktikan kemampuan apabila membawa skuad Malaysia Bawah 19 Tahun muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2018 yang berlangsung di Surabaya, Indonesia.
Selain Malaysia, beliau turut mempunyai pengalaman mengendalikan Phnom Penh Crown di Kemboja dan PSM Makassar di Indonesia.
Terbaharu, Bojan Hodak membimbing kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung dan berjaya membantu pasukan itu meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan bahawa pengalaman, kemampuan serta rekod kejayaan Hodak menjadi antara faktor utama badan induk itu memilih beliau untuk mengemudi Harimau Malaya.
Menurutnya, pengalaman luas jurulatih tersebut dalam kancah bola sepak tempatan dan Asia Tenggara diyakini dapat membantu beliau memahami karakter serta potensi pemain negara.
FAM juga berharap kehadiran Hodak mampu memberikan hala tuju baharu kepada skuad kebangsaan, khususnya dalam memperkukuh persiapan menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang.
Dalam perkembangan sama, FAM turut mengumumkan perubahan tanggungjawab buat Tan Cheng Hoe yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim pada 25 Jun 2026.
Pelantikan Tan dibuat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Peter Cklamovski yang menamatkan kontrak menerusi persetujuan bersama FAM berkuat kuasa 16 Jun 2026.
Bagaimanapun, Tan tidak akan meninggalkan badan induk itu apabila beliau bakal menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
Dalam peranan tersebut, beliau akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya bagi membantu memperkukuh aspek pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.
FAM turut merakamkan penghargaan kepada Tan atas kesediaan menerima tanggungjawab sebagai ketua jurulatih sementara serta komitmen yang diberikan sepanjang tempoh mengendalikan skuad kebangsaan.