Brendon Carolan dari Afrika Selatan bakal membawa angin baharu dalam hoki negara selepas dilantik sebagai pengendali baharu skuad Malaysia bagi menggantikan Sarjit Singh.
Sarjit yang mula memegang jawatan selaku ketua jurulatih pada 3 Mac 2024 tidak disambung kontraknya sebaik sahaja Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki 2026.
Perkembangan terkini itu disahkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Stadium Hoki Bukit Jalil yang menyebut Carolan telah dipilih untuk menjadi pengganti.
Khidmat Brendon Carolan Ditagih
Brendon Carolan nyata bukan asing buat skuad hoki negara apabila sebelum ini beberapa kali beliau pernah menggalas tanggungjawab selaku penolong jurulatih The Speedy Tigers.
Turut dilabel sebagai salah seorang jurulatih taktikal terbaik di dunia, beliau bertindak sebagai pembantu kepada Arul Selvaraj sewaktu skuad negara mencipta sejarah muncul juara Piala Sultan Azlan Shah 2022.
Jawatan itu terus disandang Carolan sewaktu skuad negara menghadapi Piala Dunia 2023 di Rourkela dan Bhubaneswar, India.
Terbaharu, beliau turut berada bersama-sama skuad negara ketika menghadapi Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 di Ismaila, Mesir.
Tamabah pula, Carolan pernah bertindak sebagai Perunding Prestasi Tinggi di KHM. Keadaan yang membuatkan beliau sudah cukup arif dengan selok-belok senario hoki tanah air.
Selain Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium dan Amstelveen, Belanda pada Ogos nanti, Carolan perlu merangka perancangan rapi buat skuad hoki negara untuk menghadapi Nations Cup di Cape Town, Afrika Selatan pada Jun serta Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September.