Walaupun dunia semakin canggih, perkakasan rumah atau barangan elektrik terutamanya pada hari ini mempunyai jangka hayat pendek iaitu sekitar 2 tahun ke 5 tahun pun kalau bertuah.
Bagi anak muda zaman sekarang, mungkin jenama National kedengaran agak asing. Namun, bagi generasi X dan Milenial, logo tulisan berangkai itu adalah simbol kemewahan dan ketahanan dalam setiap rumah tangga di Malaysia.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila rakyat Malaysia mula “tayang” koleksi barangan elektrik jenama National mereka yang masih berfungsi dengan sempurna meskipun sudah menjangkau usia lebih tiga dekad. Daripada kipas meja berwarna biru lumut hingga ke periuk nasi ikonik, semuanya masih gagah berbakti.

Banyak khazanah National menjadi dambaan ramai kerana terbukti ketahanan yang luar biasa walaupun jenama itu sudah tiada lagi di dalam pasaran.
Ada yang berseloroh mengatakan disebabkan kualiti yang terlalu bagus menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan jualan demi kelangsungan operasi.
Bukan Sekadar Barang, Tapi ‘Ahli Keluarga

Jika barang elektrik moden kadangkala rosak selepas tamat tempoh waranti, barangan National dibina seperti kereta kebal. Ada yang mendakwa kipas mereka tidak pernah ditukar motornya sejak mula beli dan masih berfungsi dengan baik sehingga ke hari ini.

Menariknya, ia menjadi nostalgia zaman kanak-kanak apabila melihat periuk nasi National yang calar-balar itu mengingatkan kita pada masakan ibu di kampung. Ia bukan sekadar alat memasak, tapi penyimpan memori.
“Beli sekali, pakai sampai cucu lahir” itulah ungkapan yang sesuai. Walaupun harganya mungkin agak premium pada zaman dahulu, nilai ketahanannya menjangkaui harga yang dibayar.
Dari National ke Panasonic

Untuk rekod, jenama National telah dijenamakan semula secara global kepada Panasonic pada tahun 2003 (dan sepenuhnya di Malaysia sekitar 2008).
Walaupun namanya sudah bertukar, “DNA” ketahanan Jepun itu tetap menjadi tanda aras sehingga ke hari ini.