Jamie Carragher mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Michael Carrick sebenarnya hanyalah pengurus sementara di Manchester United dan tidak akan pernah dipertimbangkan untuk jawatan tersebut oleh mana-mana kelab elit lain.

Walaupun berjaya membawa United meraih tiket ke Liga Juara-Juara Eropah ketika mengendalikan pasukan sebagai pengurus sementara, legenda Liverpool itu masih tidak yakin dengan kemampuan bekas pemain tengah berkenaan untuk menggalas tugas tersebut secara jangka panjang di Old Trafford.

Carrick kini menjadi perhatian apabila Carragher mengeluarkan kritikan pedas terhadap keputusan Manchester United untuk melantiknya sebagai pengurus tetap di Old Trafford.

Carrick mengambil alih tugas selepas pemecatan Ruben Amorim pada musim lalu dan berjaya mencuri perhatian apabila memenangi 11 daripada 16 perlawanan sebelum diberikan kontrak selama dua tahun.

Arsenal
Kredit Foto: Eleanor Hoad / Every Second Media / DPPI via AFP)

Komen Carragher Tentang Carrick

Menurus sumber laporan Goal, bekas pertahanan Liverpool itu tanpa berselindung memberikan pandangan mengenai situasi kejurulatihan semasa di Manchester.

“Pada pandangan saya, penyokong United secara umumnya memahami dan bersetuju dengan keputusan untuk kekal bersama Carrick.”

“Namun, mereka berharap beliau merupakan jawapan jangka panjang untuk mengembalikan kelab itu ke landasan kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara Eropah, sedangkan seluruh dunia pula meragui perkara tersebut.

“Bagi kebanyakan pihak, Carrick masih dilihat sebagai penyelesaian sementara walaupun namanya kini bergelar pengurus tetap.”

“Beliau seolah-olah diberikan kunci Old Trafford untuk tempoh tertentu sementara menunggu seorang pengurus bertaraf dunia mengambil alih pada musim panas 2027.”

“Sudah tentu Carrick tidak melihatnya sedemikian, tetapi persepsi sebegini sukar untuk diubah.”

Neville
Kredit Foto: Paul ELLIS / AFP

“Di luar Old Trafford, beliau dilihat sama seperti Ole Gunnar Solskjaer ketika diberikan jawatan pengurus tetap. Kredibiliti mereka untuk mendapatkan peluang sebagai pengurus sementara pada awalnya adalah kerana status mereka sebagai legenda kelab.”

“Selepas mereka menunjukkan prestasi baik, memberikan peluang untuk membuktikan kemampuan dalam jangka panjang dilihat sebagai keputusan yang masuk akal dan turut didorong oleh faktor emosi.”

“Namun, perkara itu tidak mengubah hakikat bahawa jika hanya berdasarkan rekod kejurulatihan mereka, kedua-duanya tidak akan pernah didekati oleh mana-mana kelab elit lain di England atau Eropah.”

“Kelab-kelab tersebut juga tidak mempunyai ikatan sentimental terhadap mereka ketika menilai sama ada mereka layak diberikan kontrak tetap.”