Karier Marcus Rashford di Manchester United mungkin belum berakhir apabila pengurus pasukan, Michael Carrick dilaporkan terbuka untuk membawa semula penyerang itu ke Old Trafford.

Pemain berusia 28 tahun itu sebelum ini dilihat telah mengharungi perlawanan terakhirnya bersama Red Devils pada 2024.

Namun, beberapa perkembangan dalam urusan perpindahan pemain kini membuka jalan kepada kepulangan sensasi Rashford ke Manchester United, seperti dilaporkan sumber laporan Goal.

Penyerang itu sebelum ini meninggalkan Manchester selepas tidak lagi menjadi pilihan bekas pengurus, Ruben Amorim sebelum dipinjamkan ke Aston Villa dan kemudian ke Barcelona.

Walaupun membantu gergasi Catalan itu merangkul semula kejuaraan La Liga bulan lalu, peluang untuk Marcus Rashford kekal secara tetap di Sepanyol kini dilihat semakin tipis susulan tindakan Barcelona mendapatkan pemain sayap Newcastle United, Anthony Gordon menerusi perpindahan bernilai £70 juta.

Difahamkan, Barcelona tidak mengaktifkan pilihan bernilai £30 juta untuk menandatangani pemain tersebut secara kekal, sekali gus menyebabkan masa depannya terus menjadi tanda tanya.

Carrick Buka Pintu Buat Rashford

Dengan gergasi Sepanyol itu kini beralih kepada sasaran perpindahan lain, laluan kembali ke Manchester United kini terbuka buat Rashford untuk melapor diri di Carrington Training Centre bagi menjalani latihan pra-musim di bawah pemantauan Michael Carrick.

Marcus Rashford telah menjaringkan 87 gol dalam 287 penampilan sepanjang sembilan tahun beraksi dalam English Premier League, tetapi tidak lagi beraksi untuk Manchester United sejak pertemuan menentang Nottingham Forest pada Disember 2024.

Bagaimanapun, pemain lincah itu masih mempunyai kontrak bersama Red Devils sehingga Jun 2028 dan Carrick dikatakan bersedia untuk menerima kepulangannya sekiranya perpindahan tetap ke kelab lain gagal direalisasikan.

Sumber