Ketua jurulatih Manchester United, Michael Carrick menafikan kemungkinan untuk meletakkan jawatan meskipun keputusan seri 4-4 menentang Aston Villa menyaksikan pasukannya terus terperosok dalam zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan pada masa kecederaan menerusi Joshua Zirkzee dan Patrick Dorgu menyelamatkan Manchester United daripada kekalahan di Old Trafford.

Namun, The Red Devils tetap memasuki tempoh rehat antarabangsa dengan kedudukan mengecewakan selepas sekadar menghuni tangga ke-18 dengan lapan mata dikumpul.

Carrick Masih ‘Percaya’

Meskipun berdepan keadaan tersebut, Carrick jelas kelihatan masih tenang dan bersemangat untuk meneruskan tugasannya bersama Manchester United.

“Perkara itu tidak akan berlaku [ketika ditanya akan meletakkan jawatan],” ujar Carrick menurut sumber laporan Goal.

Apabila ditanya sama ada perbincangan mengenai masa depannya bersama pasukan akan diadakan, Carrick menjawab: “Adakah ia akan berlaku?”

“Adakah anda menjangkakannya?”

Apabila diminta mengulas mengenai situasi tersebut, Carrick berkata: “Anda yang memberitahu saya apa yang anda fikirkan.”

“Kami belum memenangi perlawanan yang mencukupi, tetapi saya menjangkakan kami akan terus melangkah ke hadapan dan memperbaiki perkara-perkara yang selama ini menjadi fokus kami.”

“Kami juga telah menunjukkan banyak perkara positif dalam perlawanan hari ini. Kami perlu memperkemaskan beberapa aspek dan mula mencatat kemenangan.”

“Bola sepak banyak ditentukan oleh detik-detik penting, khususnya apa yang berlaku di hadapan gawang kedua-dua pasukan. Jika diketepikan detik-detik tersebut serta gol-gol yang sebenarnya boleh dielakkan, saya berasakan kami bermain dengan cukup baik.”

“Kami juga merupakan pasukan yang lebih baik sepanjang sebahagian besar perlawanan. Saya kecewa kerana kami gagal memenangi perlawanan ini,” tambah beliau lagi.

Sumber