Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perlis United, Rozailmee Zulkeply mengakui kelab tersebut sudah bersedia untuk menghadapi saingan Liga Super Malaysia 2024/25 yang akan bermula Mei ini.

Nama Perlis United (PUFC) mencuri tumpuan sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas badan penganjur liga bola sepak, Malaysian Football League (MFL) akhirnya mengumumkan kelab itu bakal menjadi pasukan ke-14 saingan liga paling berprestij di Malaysia tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Seperti dilaporkan sebelum ini, PUFC terlebih dahulu perlu memenuhi syarat tambahan bagi membolehkan mereka menerima lesen luar biasa (Extraordinary License) bersyarat.

Difahamkan, permohonan yang dikemukakan PUFC lebih kukuh berbanding tiga lagi pasukan iaitu Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT.

Sehubungan dengan itu menerusi kenyataan dikeluarkan di laman Facebook peribadi milik beliau, Rozailmee berazam mahu memberikan yang terbaik serta membanggakan peminat bola sepak di Perlis.

“Terlebih dahulu, kami (PUFC) ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada MFL kerana memberi peluang kepada Perlis United FC untuk bersaing dalam Liga Super 2024.”

“Kami amat bersyukur dan berbesar hati kerana berpeluang menyertai peringkat tertinggi bola sepak Malaysia. Pencapaian ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan, dedikasi, dan kerja keras seluruh pengurusan pasukan, jurulatih, pemain dan kakitangan kelab.”

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kami, penyokong setia, dan semua orang yang telah menyumbang dalam perjalanan kami ke arah Liga Super. Sokongan berterusan anda telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami.”

“Kami berjanji akan bekerja keras dan memberikan usaha yang terbaik untuk memberikan persembahan terbaik untuk Perlis United FC dalam pertandingan ini.”

“Kami faham bahawa saingan dalam Liga Super adalah sengit, dan kami bersedia untuk menghadapinya. Kami akan mempertahankan maruah kelab dan membanggakan penyokong kami melalui usaha dan semangat kami dalam setiap perlawanan.”

“Semoga mendapat sokongan penuh daripada masyarakat Perlis dan seluruh Malaysia dalam perjalanan ini. Bersama-sama, dengan kerjasama dan dedikasi kami, kami menyasarkan untuk mencapai kejayaan untuk Perlis United FC.”

“Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada MFL atas peluang ini. Kami bersedia untuk bersaing dalam Liga Super 2024!,” tambah beliau lagi.