Pelumba muda, Collin Veijer mencipta sejarah tersendiri  selepas mengungguli perlumbaan Moto3 pertama buat kariernya dalam saingan Grand Prix Malaysia 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, sebentar tadi.

Lebih menarik, kejayaan sulung diraih pelumba kelahiran Belanda yang menunggang jentera Liqui Moly Husqvarna Intact GP itu hadir berikutan kemampuan hebatnya dalam menghambat dua pencabar kejuaraan keseluruhan iaitu Jaume Masia dan Ayumu Sasaki sejak daripada awal perlumbaan.

Baca Juga:

Veijer memenangi perlumbaan 15 pusingan itu dengan catatan masa 33 minit 30.072 saat untuk meninggalkan rakan sepasukannya, Sasaki di tempat kedua dengan kelebihan 0.066 saat.

Manakala pelumba Leopard Racing yang merupakan pendahulu keseluruhan, Masia ketinggalan 0.328 saat untuk berada di kedudukan ketiga.

Malang menimpa pelumba negara, Muhammad Syarifuddin Azman atau mesra dengan panggilan ‘Damok’ dalam usahanya untuk berada di kedudukan terbaik.

Damok menamatkan saingan di tempat ke-20. Kredit Foto: Amer Moose I The Vocket

Selepas berada di kedudukan ke-18 setelah deretan enam pelumba terjatuh akibat kemalangan sesama sendiri dan kemudiannya menduduki tempat ke-13, beliau turut menerima nasib sama hingga menyebabkan Damok terpaksa menukar jentera untuk meneruskan perlumbaan.

Sehubungan dengan itu, beliau hanya berada di kedudukan terakhir (tempat ke-20) selepas lapan pelumba tidak berupaya menamatkan  perlumbaan.

Meskipun gagal menghuni tangga teratas, Masia masih mengekalkan pendahuluan  dengan 246 mata, berkelebihan 13 mata meninggalkan Sasaki.

David Alonso dari pasukan Gaviota GASGAS Aspar Team yang mengalami kemalangan pada perlumbaan tadi berada di tempat ketiga selepas mengumpul 205 mata keseluruhan.

Manakala, Collin Veijer yang mengumpul 130 mata berada di kedudukan kelapan.