Pelumba sedang meningkat naik negara, Hakim Danish Ramli berjaya menamatkan perlumbaan PortugalGP bagi Moto3 World Championship sebentar tadi di kedudukan ke-12.

Memulakan perlumbaan di petak ke-17, anak kelahiran Kuala Terengganu itu mempamerkan gaya tunggangan bertenaga dengan jentera MT MSI Racing Team.

Baca Juga:

Hakim berjaya mengekalkan rentak konsisten sepanjang 19 pusingan di Litar Algarve tersebut meskipun berdepan cabaran sengit daripada kelompok pertengahan terutamanya tekanan menerusi seteru utama, Brian Uriarte dari Sepanyol.

Hakim Danish Cemerlang

Aksi matang yang dipamerkannya membolehkan Hakim Danish menamatkan saingan dalam kelompok 15 terbaik, sekali gus mengutip empat mata berharga untuk pasukannya.

Ia hanyalah perlumbaan kedua buat Hakim dalam saingan Moto3 dimana sebelum ini gagal menamatkan saingan di Sepang ekoran masalah teknikal dihadapi jenteranya.

Hakim dijangka akan terus memperbaiki prestasinya menjelang pusingan terakhir ValenciaGP di Litar Ricardo Tormo pada 14 hingga 16 November.

Ia satu lagi cabaran besar yang bakal menguji ketahanan fizikal dan mental pelumba muda negara ini.

Hakim Danish mendapat peluang untuk ‘memanaskan badan’ sebelum menyertai saingan penuh pada musim hadapan selepas menggantikan menggantikan Ryusei Yamanaka yang kini tidak dapat beraksi kerana kecederaan.

Perlumbaan Moto3 PortugalGP menyaksikan Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team memenangi perlumbaan manakala rakan sepasukan Hakim, Angel Piqueras di kedudukan kedua dan tempat ketiga menjadi milik Taiyo Furusato dari Honda Team Asia.