Pada hari semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pelancaran yang berlangsung di Kompleks Kejuruteraan MAB di Sepang itu memperkenalkan lagu tema rasmi, logo kempen, maskot dan corak livery kapal terbang.
Baca Juga:
- Tourism Malaysia Sasar Lima Juta Pelancong China Hadir Ke Malaysia Tahun Ini
- Duduki Tangga Kedua, Rakyat Malaysia Diiktiraf Penyumbang Terbesar Pelancongan Thailand
- 4.5 Juta Pelancong Muslim Buat Malaysia Untung RM14.7 Bilion
Untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kali ini, Beruang Matahari dipilih untuk menjadi logo maskot kempen pelancongan negara.
Maskot itu terdiri daripada dua ekor beruang matahari, jantan dan betina yang mengenakan sepersalinan bercorak berwarna biru.
Kedua-dua maskot itu dikenali sebagai ‘Wira’ dan ‘Manja’ dan Tourism Malaysia menjelaskan ianya bukanlah hasil janaan sistem Artificial Intelligence (A.I).
Logo kempen itu meraih maklum balas positif daripada warganet. Ramai yang menyukai tema yang dibawakan pada kali ini.
Pada masa sama, warganet turut memuji tipografi kempen berkenaan. Ada berpendapat, tanpa logo maskot beruang matahari, tipografi untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 itu pun cukup menarik perhatian.
Warganet turut bertanyakan sama ada Wira dan Manja akan dijadikan barangan cenderamata. Tourism Malaysia mengesahkan pihaknya sedang dalam perancangan untuk membuatnya.
Pihak tersebut juga mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan pujian yang diberikan daripada orang ramai.
Dalam pada itu, seramai 35.6 juta pelancong dijangka bakal melawat Malaysia sempena pelaksanaan kempen tersebut. Negara turut menjangka dapat meraih sebanyak RM147.1 bilion.