Baru-baru ini Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 telah dilancarkan. Pelancaran itu mempamerkan lagu tema rasmi, logo kempen, maskot dan corak livery kapal terbang.
Bagaimanapun pelancaran itu mendapat kritikan netizen apabila video montaj kempen tersebut langsung tidak ada babak yang menunjukkan masjid.
Baca Juga:
- ‘Confirm Bukan Intern Buat’ – Logo Tahun Melawat Malaysia 2026 Dipuji Ramai
- ‘Tempoh ‘Check In’ Dan ‘Check Out’ Hotel Bukan Bidang Kuasa MOTAC’ – Menteri Pelancongan
- ‘Hotel Kena Bagi Pengguna Duduk Sekurang-Kurangnya 23 Jam Sehari’ – Menteri Pelancongan
Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing tampil memberikan penjelasan.
Menurutnya, elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang lebih terperinci dalam masa terdekat.
Beliau meminta orang ramai tidak mempolitikan isu berkenaan. Ini kerana fokus utama video montaj berkenaan adalah untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif, petik Sinar Harian.
“Saya berharap semua pihak memahami video pelancaran seperti ini sememangnya tidak boleh terlalu panjang atau terperinci.
“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini termasuk seni bina masjid yang memukau.
“Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Mana-mana elemen yang menonjolkan seni, budaya dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh akan disertakan dalam video tersebut seperti silat, tarian ngajat dan tarian sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelasnya lagi, tujuan utama video montaj ringkas pelancaran Kempen TMM 2026 adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan termasuk perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara pada masa depan, bukannya mengenai agama atau perkauman.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta kepada semua pihak, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang, agar tidak menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman.
Beliau juga berasa amat kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu berkenaan sebagai sentimen agama dan perkauman serta bahan perpecahan.
“Ingatlah bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan. Jangan biarkan isu-isu sebegini menjadi penghalang keharmonian masyarakat, seterusnya menjejaskan imej negara kita di persada dunia.
“Marilah kita bersama-sama mengekalkan perpaduan dan bekerjasama memastikan usaha promosi negara ini berjalan dengan lancar demi manfaat kita semua,” kata Menteri Pelancongan itu.