Skuad Melaka Football Club (Melaka FC) nampaknya bakal tampil dengan logo baharu bagi menghadapi saingan Liga M3 pada musim ini.

Laman facebook rasmi Melaka FC telah memuat naik satu logo baharu hari ini yang meletakkan sebiji bola di tengah-tengah rekaan berbentuk perisai berlatar belakang warna merah dan biru.

Baca Juga:

Ianya sekaligus menarik perhatian penyokong pasukan itu yang sempat berseloroh di ruang komen mempersoalkan kenapa logo kelab selalu ditukar pada setiap tahun.

Pengenalan logo baharu ini seiring dengan Majlis Menandatangani Kontrak Pemain dan Pegawai Pasukan Melaka FC yang diadakan di pejabat pasukan itu semalam.

Bagaimanapun, kebanyakan penyokong tidak puas hati dengan rekaan logo baharu tersebut yang disifatkan mereka sebagai tiada identiti sebenar Melaka.

Malah, peminat juga hairan kenapa pengurusan tidak mengekalkan pokok Melaka sebagai identiti negeri ini seperti yang terdapat pada logo tahun lepas.


Ini adalah kali ketiga Melaka FC menukar logo mereka. Tahun lalu kelab itu pernah dikecam hebat kerana memapamarkan logo seperti tangkap muat dan menggunakan template Manchester United.

Ada yang mempersoalkan sama ada di Melaka sudah tidak ada pereka grafik lagi sambil menyindir rekaan logo tersebut.

Melaka FC merupakan kelab yang ditubuhkan milik Datuk Wira Nur Azmi untuk mewakili negeri tersebut dalam pertandingan bola sepak domestik.

Ini selepas Melaka United rasminya berkubur, selepas dihalang untuk bertanding dalam Liga Super ekoran masalah tunggakan gaji.

Mereka juga melantik jurulatih berpengalaman, K.Devan dengan misi mencapai sasaran kembali ke Liga Super pada tahun depan.

K.Devan adalah nama besar dalam bola sepak Malaysia kerana beliau pernah menjuarai Liga Super sebanyak tiga kali bersama pasukan Negeri Sembilan (2005/06) dan Selangor (2009 dan 2010).