Bernama semalam telah berkongsikan gambar rakaman dari udara sebuah perkampungan dalam hutan di satu kawasan tidak rata dan berpaya yang telah diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada 1 Februari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, rakyat Indonesia yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan di Nilai Spring pada 1 Februari lepas dipercayai tidak berniat untuk pulang ke negara asal sebaliknya ingin terus berada di negara ini walaupun tanpa dokumen sah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Berdasarkan risikan JIM juga, orang yang menghuni penempatan haram itu adalah bangsa Flores dari Indonesia dan penempatan haram itu dipercayai turut mempunyai kemudahan lain seperti kedai runcit dan sekolah.

Pada operasi tersebut, JIM berjaya menahan seramai 67 orang warga Indonesia berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tinjauan Bernama di kawasan pada hari ini juga mendapati, penempatan itu telah dimusnahkan untuk mengelakkan mereka kembali ke sana.

Menerusi laporan portal Malaysiakini, Sebuah NGO hak migran menafikan penempatan warga asing yang diserbu pihak berkuasa di Nilai Spring, Negeri Sembilan, minggu lalu adalah penempatan haram, seperti didakwa Jabatan Imigresen.

Menurut Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, rumah dan binaan kayu lain, termasuk sekolah sementara, didirikan di kawasan terpencil yang ada kaitan dengan majikan yang mengambil kumpulan asal pekerja Indonesia bagi perlombongan pasir di kawasan itu, kira-kira sembilan tahun lalu.

JIM dalam satu maklum balas kepada laporan berita tersebut pagi tadi menolak dakwaan NGO Migrant Care itu. JIM menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tiada hak mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara ini.

“Pengeluaran Visa dan Pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di negara ini, dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sebagai pihak berkuasa. Kedutaan asing tidak mempunyai kuasa mengeluarkan apa jua bentuk Pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara.

“Fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak ialah mereka yang ditahan dalam operasi bersepadu ini adalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan kewajaran JIM melaksanakan operasi membenteras PATI kerana ini adalah tugas hakiki Jabatan ini,” terang Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Bin Daud dalam kenyatan tersebut.

JIM turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia sendiri akan dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang Imigresen negara berkenaan. Justeru itu, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara.

Sumber