Penyerang Malaysia, Darren Lok menolak tanggapan bahawa keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi alasan kepada kekalahan skuad negara ketika bertemu Oman, malam tadi.

Malaysia sekali lagi terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 bertemu lawan sama dimana kedua-dua gol tersebut hadir pada masa kecederaan setiap babak menerusi Omar Al-Malki dan Mohammed Al Ghafri.

Baca Juga:

Jentera serangan skuad negara kelihatan agak tumpul sepanjang perlawanan walaupun bermula dengan baik hasil percubaan pantas dimiliki Arif Aiman Hanapi seawal minit pertama.

Selepas itu anak buah Kim Pan-gon ditekan hingga memaksa penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bekerja keras menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi lebih banyak jaringan.

“Ia (padang) tidak begitu teruk, kami tidak boleh menggunakan padang sebagai alasan,” ujar Darren Lok menurut sumber laporan Bernama.

“Kedua-dua pasukan terpaksa bermain di atas padang itu dan malam ini (malam tadi) bukanlah malam kami, Oman mendapat kemenangan dan kami kecewa.”

“Sekarang kami perlu bangkit dan fokus pada perlawanan Jun ini kerana perlu memenangi dua perlawanan lagi. Kini, masanya untuk membetulkan keadaan dan kembali dengan sedikit keyakinan.”

Dengan kekalahan kedua berturut-turut yang dialami, skuad negara kini menghuni tangga ketiga kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan enam mata manakala Oman ditangga kedua hasil sembilan mata diperolehi, hanya kekurangan perbezaan jaringan berbanding Krygyztan.

Sumber