Permulaan buruk Tottenham Hotspur dalam kempen baharu Liga Perdana Inggeris mencapai tahap lebih mengecewakan pada hujung minggu ini apabila Roberto De Zerbi melabel Spurs sebagai pasukan paling ‘rapuh dari segi mental’ yang pernah dikendalikannya.
Selepas tewas 3-2 kepada Aston Villa dalam perlawanan yang mengecewakan, pengendali dari Itali itu tidak berselindung ketika memberikan penilaiannya terhadap pasukan yang kini berada di zon penyingkiran.
De Zerbi berjaya membantu Spurs keluar daripada zon penyingkiran pada musim lalu, namun musim keduanya sebagai pengendali pasukan itu mula menemui jalan buntu dengan begitu pantas.
Walaupun menguasai permainan pada awal perlawanan dan mencipta beberapa peluang terbaik, Tottenham sekali lagi gagal mengekalkan kelebihan sebelum akhirnya tewas dan meningkatkan lagi tekanan yang sedang dirasai dalam bilik persalinan.
De Zerbi Kecewa
“Sukar untuk dijelaskan kerana sepanjang 14 tahun karier saya sebagai jurulatih, saya tidak pernah melihat pasukan seperti kami,” kata pengendali tersebut menurut sumber laporan Goal.
“Begitu rapuh, sangat tidak konsisten. Anda bermain baik atau buruk. Anda tidak boleh beraksi dengan sangat baik dalam tempoh 30, 40 minit pertama, kemudian bolos dengan cara seperti ini. Sukar untuk saya terima.”
Apabila ditanya mengenai punca yang menyebabkan pasukannya kembali hilang arah, De Zerbi mengakui bahawa beliau sendiri masih mencari jawapan sebelum berkata:
“Dengar, saya seorang jurulatih, tetapi saya tidak mempunyai semua jawapan. untuk soalan anda itu, saya tiada jawapan.”
“Saya boleh katakan apa yang saya fikirkan dan apa yang saya lihat hari ini. Saya melihat pasukan saya beraksi dengan sangat baik pada separuh masa pertama dan kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.”
“Kami tidak berjaya menjaringkannya sebelum kemudian dibolosi gol pertama. Kami perlu lebih rapat antara satu sama lain dan lebih kuat serta lebih kompak.
“Pada separuh masa kedua, selepas gol Kudus, saya tidak tahu sama ada para pemain kehilangan tenaga… sekarang kami perlu menjelaskan satu lagi kekalahan,” tambah beliau lagi.