Hubungan antara Julian Alvarez dan Atletico Madrid dilaporkan telah mencapai fasa perpecahan apabila pengurus Diego Simeone dikatakan semakin hilang sabar terhadap penyerang Argentina itu.

Selepas beberapa isyarat yang dibuat secara terbuka mengenai potensi perpindahan ke Barcelona, pengendali Atletico itu kini dilaporkan bersedia untuk meluluskan pemergian pemain yang dilihat sudah tidak lagi komited terhadap pasukan di Riyadh Air Metropolitano.

Menurut sumber laporan Goal, Diego Simeone dilaporkan sudah mencapai had kesabarannya terhadap penyerang itu.

Julian Alvarez Buat Diego Simeone Naik Angin

Simeone yang terkenal dengan tuntutannya terhadap kesetiaan mutlak daripada setiap pemain kini dikatakan sudah tidak mampu bertolak ansur lagi selepas Alvarez secara terbuka memberi bayangan mahu menyertai Barcelona.

Simeone melihat pemergian juara Piala Dunia itu sebagai satu-satunya penyelesaian yang logik bagi mengekalkan keharmonian dalam bilik persalinan.

Beliau juga tidak berhasrat untuk memujuk mana-mana pemain supaya kekal jika hati mereka sudah bulat untuk meneruskan karier di kelab lain.

Walaupun hubungan antara pengurus dan pemain itu dilihat sudah retak, Atletico Madrid tidak akan memudahkan urusan Barcelona.

Barisan pengurusan kelab yang diketuai oleh Ketua Operasi Sukan, Mateu Alemany dilaporkan lebih cenderung menjual Alvarez ke kelab luar negara berbanding menguatkan pencabar domestik mereka dalam La Liga.

Dari sudut kewangan pula, perpindahan ini kekal menjadi halangan besar buat Joan Laporta dan barisan pengurusan Barcelona.

Atletico dikatakan telah menetapkan syarat yang ketat bagi sebarang rundingan perpindahan dan dijangka menuntut yuran perpindahan yang tinggi sebagai pampasan kerana melepaskan pemain bertaraf bintang kepada pesaing.

Sehubungan dengan itu, ia menjadi masalah besar buat Barcelona untuk mendapatkan khidmat Julian Alvarez.

Sumber