Usaha Selangor membawa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini dilihat berterusan dimana kelab itu kini dikaitkan dengan penyerang skuad kebangsaan Jordan iaitu Yazan Al-Nimat.
Dua pemain Jordan di skuad Merah Kuning itu iaitu Noor Al-Rawabdeh dan Ali Olwan memuat naik gambar Yazan di laman media sosial Instagram story milik mereka sekaligus membuatkan penyokong pasukan itu berteka-teki.
Baca Juga:
- Pernah Hatrik Lawan Harimau Malaya, Ali Olwan Kini Sertai Selangor FC
- Faisal Halim Suntik Semangat Skuad Futsal SUKMA Selangor
- Selangor Kembali Jejak Kaki Ke Final Piala FA Selepas 6 Tahun
Sejak tiga musim kebelakangan ini, Selangor dibarisi oleh beberapa pemain dari Jordan bermula dengan Baha’ Abdel-Rahman dan Yazan Al-Arab pada musim 2022. Musim lalu, Noor dibawa masuk bagi memperkuatkan barisan tengah dan bagi saingan musim 2024-2025, juara 33 kali Piala Malaysia itu menandatangani Reziq Bani Hani dan Olwan.
Yazan Al-Naimat muncul sebagai salah satu pemain cemerlang dalam temasya Piala Asia 2023 dimana beliau membawa Jordan layak ke perlawanan akhir namun terpaksa akur tewas kepada pasukan tuan rumah iaitu Qatar.
Dalam temasya itu, Al-Naimat menjaringkan empat gol sekaligus berkongsi kedudukan ketiga dalam carta penjaring terbanyak bersama pemain Jepun iaitu Ayase Ueda.
Musim ini, Al-Naimat yang juga boleh beraksi sebagai pemain sayap merekodkan tujuh jaringan dan tujuh bantuan jaringan dalam 20 perlawanan bersama kelab Qatar, Al-Ahli SC.
Selepas temasya Piala Asia 2023 tamat, ejen kepada Yazan pernah mendedahkan bahawa sukar untuk membawa pemain itu bagi beraksi di Malaysia kerana Yazan memiliki harga pasaran yang amat tinggi.
Menurut tinjauan di laman Transfermarkt, Yazan ketika itu memiliki nilai pasaran sebesar €600 Ribu atau sekitar RM3 Juta.
Malah, beliau mempunyai nilai pasaran yang jauh lebih mahal berbanding penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva (€400 Ribu) dan pemain sayap negara, Arif Aiman (€550 Ribu).