Inaki Ibanez yang merupakan ejen kepada Xabi Alonso tanpa berselindung mendedahkan bahawa Liverpool sudah menghubungi bekas pengurus Real Madrid itu.
Nama Xabi Alonso sebelum ini memang kuat dikaitkan untuk menggantikan Arne Slot yang semakin goyah di Anfield susulan prestasi turun naik dipamerkan skuad kendaliannya pada musim ini.
Selepas membawa Liverpool muncul juara English Premier League (EPL) musim lalu, Slot bukan sahaja gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi.
Malah, Liverpool kini berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 49 mata hasil 14 kemenangan, tujuh keputusan seri dan sepuluh kekalahan dialami.
Keadaan yang menyebabkan kedudukan Slot sebagai pengurus pasukan dilihat semakin rapuh.
Liverpool Minat Dapatkan Xabi Alonso
Menurut sumber laporan Sport Bible, Ibanez mengesahkan bahawa terdapat minat yang nyata daripada Liverpool.
Tidak cukup dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Michael Edwards telah berhasrat untuk mendapatkan Alonso seawal musim bunga 2024 lagi.
Namun, laporan itu menambah bahawa, walaupun Xabi Alonso bersedia untuk membimbing Liverpool, ia hanya akan berlaku mengikut syaratnya sendiri, dengan pengurus itu berhasrat untuk mempunyai pengaruh yang lebih besar dalam perancangan skuad.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Alonso berminat untuk mendatangkan tiga pemain sekiranya menggalas tanggungjawab sebagai pengurus Liverpool.
Pemain yang dimaksudkan ialah bek kental, Alessandro Bastoni dari Inter Milan, Adam Wharton (Crystal Palace) dan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola.