Xabi Alonso dilabel sebagai calon utama untuk menggantikan tempat Arne Slot di Liverpool sekiranya pengendali kelahiran Belanda itu meninggalkan The Reds.

Selepas musim cemerlang dengan kejayaan muncul juara English Premier League (EPL) 2024/25, perjalanan Slot bersama Liverpool pada musim kedua lebih berliku.

Bukan sahaja gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi, Liverpool kini berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 49 mata hasil 14 kemenangan, tujuh keputusan seri dan sembilan kali kekalahan dialami.

Keadaan yang menyebabkan kedudukan Slot sebagai pengurus pasukan dilihat semakin rapuh.

Dalam masa sama, spekulasi mengenai Xabi Alonso terus semakin hangat. Pengurus dari Sepanyol itu dikaitkan kuat dengan jawatan tersebut, malah laporan media turut menyebut jenis pemain yang ingin dibawanya sekiranya dilantik.

Satu petanda bahawa pelan alternatif mungkin sedang dirangka secara senyap di belakang tabir. Keadaan menjadi lebih hangat selepas ejen Alonso, Inaki Ibanez tampil memberi kenyataan, sekali gus menambahkan lagi spekulasi bahawa perubahan di kerusi pengurus mungkin bakal berlaku.

Pemain Pilihan Xabi Alonso

Menurut sumber laporan Give Me Sport, Alonso berminat untuk mendatangkan tiga pemain sekiranya menggalas tanggungjawab sebagai pengurus Liverpool.

Pemain yang menjadi keutamaannya adalah bek tengah kental, Alessandro Bastoni dari Inter Milan untuk membina unit pertahanan lebih mantap.

Selain memperkukuhkan bahagian pertahanan, Alonso juga mahu menambah bakat muda di posisi lain dalam pasukan.

Salah satu nama dalam senarainya ialah Adam Wharton, pemain tengah Crystal Palace dan England yang menarik perhatian ramai kelab EPL hasil keupayaannya mengawal tempo permainan serta potensi besar yang dimilikinya untuk berjaya pada masa depan.

Akhir sekali, Bradley Barcola dilihat sebagai pemain yang mampu menyuntik kepantasan serta kemampuan gelecek yang amat diperlukan di bahagian sayap.

Pemain Perancis itu juga versatil kerana boleh beraksi di kedua-dua belah, dan dijangka menjadi peningkatan ketara berbanding prestasi kurang konsisten Cody Gakpo serta Mohamed Salah yang semakin dimamah usia.

Sumber