Tindakan pemain sayap skuad kebangsaan Thailand, Ekanit Panya meninggalkan pasukan itu sebelum bermulanya temasya Piala Asia 2023 di Qatar nyata membuahkan hasil apabila beliau mendapat lanjutan kontrak bersama Urawa Red Diamonds.

Perkara ini dikongsikan oleh Asean Football di laman media sosial X dimana Urawa bersetuju untuk melanjutkan kontrak pinjaman Ekanit untuk satu musim lagi.

Baca Juga:

Sebelum ini, Ekanit Panya membangkitkan kemarahan peminat bola sepak Thailand apabila meminta untuk dilepaskan dari pasukan negaranya.

Menurut perkongsian All Things Thai Football, Ekanit meminta untuk dilepaskan kerana beliau mahu menyertai kem latihan pra musim bersama Urawa Red Diamonds.

Ramai yang mengkritik tindakan pemain berusia 24 tahun itu dimana beliau dianggap tidak memandang seriua tugasan bersama pasukan kebangsaan apatah lagi mereka akan beraksi dalam temasya besar seperti Piala Asia.

Baru-baru ini, bekas pemain Chiangrai United itu berada dalam skuad Urawa yang beraksi dalam saingan Piala Dunia Kelab FIFA di Arab Saudi yang mana kelab itu menamatkan saingan di peringkat separuh akhir selepas mereka tewas kepada Manchester City dengan keputusan 3-0.

Dalam masa yang sama, Ekanit mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari rantau Asia Tenggara yang beraksi di kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA.

Setelah pengunduran diri Ekanit, ketua jurulatih Thailand iaitu Masatada Ishii memanggil pemain sayap Muangthong United, Picha Autra sebagai pengganti.

Dalam temasya Piala Asia 2023, Thailand diletakkan dalam kumpulan F bersama Arab Saudi, Kyrgyzstan dan Oman.