Pasukan Sabah melancarkan jersi home yang bakal dipakai bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25 dimana mereka menggunakan elemen budaya sebagai dalam video pelancaran jersi itu.

Kelab dari Borneo itu masih bekerjasama dengan jenama sukan dari Itali iaitu Lotto dan baru-baru ini mereka memuat naik video di laman media sosial bagi melancarkan jersi baru tersebut.

Baca Juga:

Menggunakan tagline Bangunlah Bersatu Semua, video tersebut diwarnai dengan latar belakang Gunung Kinabalu, tarian Sumazau dan juga elemen paling penting bagi sebuah kelab bola sepak iaitu penyokong.

Bagi jersi home kali ini, Sabah mengekalkan warna merah sebagai warna utama sambil ditambah elemen budaya lain seperti corak linangkit di bahagian kolar jersi dan juga di lengan.

Video pengenalan dan juga jersi musim ini mendapat pujian dari penyokong pasukan itu dan mereka tidak sabar untuk mendapatkan jersi baru tersebut.

Musim ini, Datuk Ong Kim Swee terus diberi tanggungjawab bagi mengendalikan pasukan dan mereka sudah pasti mahu mencabar pasukan Selangor bagi merebut tempat kedua dalam carta liga musim ini selepas menamatkan saingan musim lalu di tangga ketiga.