Selepas hampir 10 tahun, Ratu Rock negara kembali dengan karya baharu hasil ciptaan Saari Amri dan lirik oleh Azam Dungun.

Ella berkongsi beberapa perkembangan terkini mengenai persiapan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup menerusi sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini.

Menerusi sesi tersebut, Ella turut mendedahkan beberapa lagu yang bakal dipersembahkan pada 5 Disember (Sabtu) ini di Unifi Arena, Bukit Jalil. Antara yang mencuri perhatian ialah sebuah lagu baharu yang bakal dirakam dan dipersembahkan buat pertama kali secara langsung pada malam konsert berkenaan.

Selepas hampir 10 tahun, Ella bakal kembali dengan karya terbaharu hasil ciptaan Saari Amri, manakala liriknya ditulis oleh Azam Dungun. Persembahan sulung ini pastinya menjadi momen istimewa buat peminat yang berpeluang menjadi antara individu terawal mendengar karya terbaharu Ratu Rock itu bersama kumpulan pemuziknya yang diketuai Datuk Acis.

Selain lagu baharu, peminat turut berpeluang menikmati beberapa lagu yang jarang dipersembahkan secara langsung, termasuk Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna serta Puteri Kota.

Lebih menarik, konsert yang bakal berlangsung tidak lama lagi itu turut menampilkan persembahan istimewa bersama barisan artis jemputan, termasuk Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima.

Tiket untuk menyaksikan Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup boleh didapati menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.