Selepas berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat menerusi tiga persembahan di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang, Ella bakal menutup tirai perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen 2026 menerusi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup pada 5 Disember ini di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen, konsert kemuncak ini bakal menampilkan dua penyanyi wanita tersohor tanah air, Yuna dan Datuk Ziana Zain. Gabungan tiga figura daripada latar muzik berbeza ini dijangka menjadikan malam tersebut lebih istimewa buat peminat.

Sepanjang tahun ini, siri Majlis Tertinggi Rockqueen berjaya menarik 55,000 penonton di Kuala Lumpur, lebih 5,000 di Singapura dan 10,000 di Pulau Pinang. Pencapaian tersebut membuktikan pengaruh Ella yang kekal utuh selepas lebih empat dekad dalam industri muzik tempatan.

Menariknya, Sidang Penutup turut memperkenalkan konsep ‘Audience Choice’, yang membolehkan peminat menentukan beberapa elemen persembahan termasuk tema dan senarai lagu. Inisiatif ini memberi peluang kepada peminat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatif konsert berkenaan.

Bagi Ella, konsert ini merupakan peluang untuk meraikan perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen bersama peminat sebelum melabuhkan tirainya bagi tahun 2026. Tiket akan mula dijual pada 22 Oktober 2026 dengan harga bermula RM179 menerusi laman web rasmi Hitman Live di www.hitmanlive.com.