Ketua jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso Fraile mahu anak buahnya mengekalkan corak permainan pada aksi separuh akhir kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2026 pada 10 Oktober nanti.
Pada aksi pertama yang berlangsung pada 24 September lalu, Pahang Rangers beraksi dengan baik untuk meraih kemenangan 4-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dengan ketiadaan format agregat, aksi kedua yang dijadualkan berlangsung 10 Oktober nanti menyaksikan kemenangan atau keputusan seri akan membawa juara edisi 2023 itu ke pentas final.
Namun, pengendali kelahiran Sepanyol itu sedar bukan tugas mudah buat barisan anak buahnya.
Eloy Alonso Mahu Pemain Pahang Rangers Kekalkan Prestasi Baik
Sehubungan dengan itu, Eloy Alonso mahu anak buahnya kekal fokus dalam usaha memburu slot ke pentas final.
“Perlawanan pertama separuh akhir tempoh hari benar-benar menarik! Saya sangat gembira dan bangga dengan prestasi para pemain saya.”
“Mereka bekerja keras untuk menghadapi perlawanan seperti ini, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan dan suasana yang luar biasa.”

“Kami mempamerkan aksi bertahan yang sangat berdisiplin, selain kekal fokus dan agresif sepanjang perlawanan. Kami juga sangat baik ketika menyerang.”
“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang pada separuh masa pertama, tetapi pada separuh masa kedua, kami beraksi sangat baik selama tujuh hingga lapan minit dengan mencipta banyak peluang.”
“Sudah tentu, JDT merupakan pasukan hebat yang dibina untuk menjadi juara. Pada minit-minit terakhir perlawanan, kami menunjukkan ketahanan mental yang tinggi dan bertahan dengan sangat baik ketika mereka bermain secara power play.”
“Kami kekal kukuh dan sepanjang tempoh tersebut, kami juga berpeluang untuk menjaringkan satu lagi gol. Namun, perkara paling penting ialah kami berjaya mendapatkan tiga mata pertama dalam separuh akhir ini!”
“Untuk perlawanan kedua separuh akhir ini, saya menjangkakan aksi yang sama sengit dan agresif.”
“Mereka akan beraksi di laman sendiri dan sudah tentu perlu memburu kemenangan sejak minit pertama. Kami perlu sedar bahawa ia akan menjadi perlawanan yang sangat sengit dan saya berharap para pemain saya mampu mempamerkan prestasi seperti dalam perlawanan pertama.”
”Saya percaya kepada mereka dan menaruh kepercayaan penuh terhadap mereka. Saya yakin kami akan pergi ke sana untuk berjuang secara berdepan dengan JDT!,” tambah Eloy Alonso lagi.