Kawasan sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dijangka sesak teruk mulai jumaat ini (8 Disember 2023) sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu (TFC) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 9.00 malam.
Malah, terdapat 3 lagi acara besar berlangsung di sekitar perkarangan SNBJ pada hari yang sama sekaligus membayangkan kehadiran lebih 90,000 pengunjung membanjiri kawasan itu.
Baca Juga:
- Keadaan Terkini Padang SNBJ Menjelang Final Piala Malaysia 2023
- Coldplay Pecah Rekod 19 Tahun Siti Nurhaliza, Bawa 75,000 Penonton Di Stadium Bukit Jalil
- Jadi ‘Punca’ Jalan Sesak, Kereta Pengiring VIP Kena Hon Dengan Pengguna Jalan Raya
Antara acara lain yang turut berlangsung di sekitar lokasi tersebut ialah Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja serta Raptai Akhir Konsert Gegar Vaganza.
Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, para pengunjung disarankan menggunakan pengangkutan tren Transit Aliran Ringan (LRT) untuk memudahkan perjalanan.
Rapid KL sebelum ini mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 8 Disember 2023 (Jumaat).
Para pengunjung juga dinasihatkan menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dan memastikan baki pada kad adalah mencukupi atau membeli token perjalanan pulang lebih awal bagi kelancaran perjalanan pergi dan balik.
Sehubungan dengan itu, pihak Prasarana melaksanakan beberapa insentif bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk ke acara tersebut.
Para penumpang akan menikmati diskaun sehingga 25% ke atas penggunaan token dan Touch ‘n Go sahaja bagi penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel dan BRT ke/dari Stesen LRT Bukit Jalil.
Semua penumpang yang membeli token atau yang menggunakan kad Touch ‘n Go untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil atau dari Stesen LRT Bukit Jalil untuk pulang layak menikmati diskaun tersebut.
Diskaun ini tidak termasuk pengguna yang menggunakan pas-pas perjalanan serta kad-kad konsesi sedia ada.
Perkhidmatan bas perantara percuma ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil juga akan disediakan. Sebanyak 10 buah bas disediakan bagi perkhidmatan tersebut.