English Premier League (EPL) akan melancarkan perkhidmatan penstriman mereka sendiri di Singapura musim depan.

Dalam pada itu liga bola sepak terkenal dunia itu juga sedang menilai bagaimana ia boleh ‘ditiru di seluruh dunia’.

Aplikasi ala Netflix yang akan dinamakan Premier League Plus itu membolehkan pengguna menonton kesemua 380 perlawanan dalam satu musim, selain kandungan tambahan lain.

Bernardo Silva
Kredit Foto: Glyn KIRK / AFP

Langkah ini menandakan perubahan daripada model tradisional penyiaran, di mana hak siaran dijual kepada penyiar tertentu.

Bagaimanapun, ia tidak akan menjejaskan perjanjian sedia ada seperti yang melibatkan Sky Sports dan TNT Sports di United Kingdom.

Beberapa organisasi sukan lain sebelum ini telah memperkenalkan platform penstriman serupa termasuk NFL, NBA dan Major League Baseball di Amerika Utara, serta Formula 1.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPL, Richard Masters mengumumkan perkhidmatan ini  yang sebelum ini disebut sebagai ‘Premflix’ pada Sidang Kemuncak Perniagaan Bola Sepak Financial Times di London pada Khamis.

Arsenal
Kredit Foto: JUSTIN TALLIS / AFP

Dalam pada itu beliau menyatakan ia merupakan hasil daripada ‘proses yang panjang dan teliti’.

“Buat pertama kali, English Premier League akan mempunyai pelanggan sendiri,” ujar Masters menurut sumber laporan BBC.

“Ini adalah aplikasi baharu yang boleh anda muat turun dan gunakan pada televisyen pintar, komputer riba anda, dan menonton 380 perlawanan serta pelbagai kandungan sampingan, termasuk saluran 24/7. Ia akan menjadi satu produk yang menarik”

“Kami juga mahu belajar, untuk melihat bagaimana ia boleh ditiru di seluruh dunia.”

Perubahan Bakal Diusahakan EPL

Masters menambah bahawa jika ia berjalan lancar, ia mungkin akan diperluaskan. Namun beliau tidak mahu membuat jangkaan lebih jauh daripada itu pada peringkat ini.

Pelancaran tersebut akan bertepatan dengan pembukaan hab produksi baharu Premier League Studios di Olympia, London.

Hak siaran tradisional EPL selama ini menjadi sumber pendapatan yang sangat lumayan buat liga, dengan pakej domestik semasa yang dibahagikan antara Sky dan TNT bernilai rekod £6.7 bilion.

Bagaimanapun, menawarkan siaran secara terus kepada peminat melalui platform langganan milik sendiri membuka peluang kepada organisasi untuk mempunyai kawalan lebih besar terhadap pengedaran kandungan, dan berpotensi menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Sumber