Era Todd Boehly di Chelsea dilaporkan semakin menuju penghujung apabila bilionair dari Amerika Syarikat itu bersedia untuk menjual pegangan minoritinya dalam kelab gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut.

Selepas tempoh penuh pergolakan yang dicorakkan oleh perbelanjaan pada rekod tertinggi serta perselisihan di sebalik tabir, Clearlake Capital kini dijangka mengambil alih kawalan penuh terhadap kelab berkenaan.

Palmer
Kredit Foto: Adrian DENNIS / AFP

Jodoh Chelsea, Boehly Bakal Berakhir?

Menurut sumber laporan Goal, Boehly dan Mark Walter dilaporkan semakin hampir untuk menjual pegangan mereka di Chelsea.

Rundingan semakin rancak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan pemegang saham majoriti, Clearlake Capital bersedia untuk membeli pegangan minoriti yang dimiliki kedua-dua rakyat Amerika itu.

Clearlake yang diketuai Behdad Eghbali dan Jose E. Feliciano, kini memegang 61.5 peratus saham dalam Chelsea. Baki 38.5 peratus pula dibahagikan sama rata antara Boehly, Walter dan bilionair Switzerland, Hansjorg Wyss.

Jika berjaya, pembelian dalaman ini akan memberikan firma pelaburan tersebut kuasa hampir sepenuhnya ke atas kelab dari barat London itu.

Konsortium BlueCo membeli Chelsea daripada Roman Abramovich pada Mei 2022 dengan nilai £2.5 bilion, selain berjanji untuk melaburkan £1.75 bilion lagi. Bagaimanapun, ketegangan di sebalik tabir semakin memuncak apabila Boehly dan Eghbali dilaporkan bertelagah mengenai hala tuju sukan kelab serta cadangan pembangunan semula Stamford Bridge.

Walaupun rundingan sebelum ini dilaporkan terhenti disebabkan perbezaan penilaian, Walter kini dijangka meraih keuntungan daripada pelaburan awalnya. Jurucakap lelaki berusia 66 tahun itu mengesahkan kepada Bloomberg bahawa persetujuan semakin hampir dicapai.

Chelsea
Kredit Foto: May JAMES / AFP)

“Urus niaga yang berpotensi ini menilai pegangan Mark Walter dalam Chelsea Football Club pada nilai yang lebih tinggi berbanding pelaburan awalnya dan ia merupakan satu lagi pelaburan sukan yang berjaya buatnya,” kata jurucakap tersebut.

“Selepas menjual pegangan ini, Walter bercadang untuk membuat pelaburan berkaitan sukan pada masa hadapan.”

Sumber