Selepas tidak diturunkan pada perlawanan persahabatan pertama menentang Rosenborg, Amad Diallo membalas kepercayaan dalam aksi kedua dengan menjaringkan gol buat Manchester United ketika menentang Glasgow Rangers, kelmarin.
Beliau berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-39 dan kemudiannya seorang lagi pemain muda sedang meningkat naik, Joe Huggil menemui sentuhan jaringan ketika aksi memasuki minit ke-70 untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat The Red Devils.
Baca Juga:
- Tewas Kepada Rosenborg, Ten Hag Bengang Dengan Aksi Manchester United
- Gaji Pengurus Dan Pemain Manchester United Dipotong
- Legenda Manchester United Puji Padang SNBJ
Melihatkan kepada aksi yang ditampilkan pemain sayap berusia 22 tahun itu, pengurus pasukan, Erik ten Hag melihat Amad Diallo mampu untuk memberikan sumbangan berkesan buat Manchester United pada musim baharu nanti.
“Kita perlu melihat Amad dengan cara yang berbeza. Sudah tentu, dia masih muda tetapi dia bukan lagi pemain yang tidak berpengalaman lagi,” ujar ten Hag menurut sumber laporan Goal.
“Musim lalu dia mengalami masa-masa yang buruk dengan kecederaan teruk dialaminya. Sebelum itu, dia berada dalam EFL Championship (bersama Sunderland pada 2022/23) dan dia menikmati musim yang hebat.”
Musim lalu menyaksikan Amad mengalami kecederaan lutut dan hanya mampu beraksi pada 12 perlawanan dalam semua pertandingan dimana beliau menjaringkan dua gol serta mencipta satu bantuan jaringan.
“Pada penghujung musim lalu, dia menikmati masa yang sangat baik dalam pasukan utama kami dan bermain beberapa perlawanan yang baik.”
“Sekarang untuk musim ini, akan menjadi tahun yang baik buatnya. Cukup hebat dia dapat bermula seperti ini.”
“Pada hari Isnin dia tidak dapat bermain, dia tidak dibenarkan pergi ke Norway, tetapi hari ini (kelmarin) dia boleh bermain dan dia bermain dengan sangat bagus.”