Presiden Como, Mirwan Suwarso telah mengesahkan bahawa Cesc Fabregas bebas untuk berhijrah ke Chelsea jika beliau ingin membimbing kelab tersebut.
Selepas pemecatan Liam Rosenior, The Blues telah mengenal pasti bekas bintang tengah mereka itu sebagai sasaran utama.
Walaupun beliau mempunyai pegangan saham dalam kelab Itali tersebut, laluan kini terbuka untuk Fabregas kembali ke London.
Perkembangan ini berlaku ketika Chelsea sedang berada dalam krisis mendalam, apabila mereka kini sedang mencari pengurus tetap ketiga bagi musim 2025/26.
Walaupun Fabregas mempunyai hubungan yang kuat dengan Como, Suwarso menegaskan bahawa mereka tidak mahu ‘mengunci Fabriegas’ dan bersedia untuk memudahkan perpindahan kembali ke kelab di mana beliau pernah memenangi dua gelaran English Premier League (EPL) sebagai pemain.
Suwarso Tak Kisah Lepaskan Fabregas
Suwarso mengambil pendirian yang agak santai mengenai masa depan aset berharganya itu.
Beliau mencadangkan bahawa selagi pengendali itu tidak menyertai pesaing langsung di Itali, kelab tersebut gembira untuk melihat beliau mengejar cita-citanya di London sambil berpotensi mengekalkan kepentingan perniagaannya di Como.
“Jika itu yang menggembirakannya, itu adalah pilihannya. Sudah tentu kita mahu pekerja kekal bersama kita selama mungkin, tetapi pada akhirnya kita tidak memiliki beliau dan beliau bebas untuk ke Chelsea jika itu yang diinginkannya,” ujar Suwarso menurut sumber laporan Goal.