Pasukan Selangor FC rasmi melatik pengendali dari Jepun, Katsuhito Kinoshi sebagai ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Nidzam Jamil yang meletak jawatan sebelum ini.

Mempunyai pengalaman luas bersama beberapa kelab Jepun dan skuad kebangsaan Serbia, Kinoshi diberi tanggungjawab untuk membimbing Merah Kuning dalam saingan liga domestik dan juga saingan peringkat Asia.

Baca Juga:

Meskipun mempunyai pengalaman yang luas, timbul persoalan yang ditimbulkan oleh peminat Selangor mengenai kredibiliti serta kualiti yang dimiliki oleh Kinoshi.

Menurut perkongsian Ahmad Ridzuan di laman X, jurulatih berusia 60 tahun ini memiliki beberapa fakta menarik sepanjang bergelar jurulatih.

Kinoshi memegang lesen kejurulatihan Kelas S yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang mana merupakan lesen tertinggi di negara itu.

Selain itu, Kinoshi juga fasih dalam tiga bahasa iaitu Jepun, Inggeris dan Portugal selain memiliki ijazah PhD dan mempunyai kelayakan untuk membimbing individu yang mahu memulakan perniagaan.

Kinoshi juga pernah menjadi jurulatih peribadi kepada lagenda Jepun iaitu Kazuyoshi Miura yang masih beraksi di peeingkat profesional di umur 57 tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor FC, Katsuhito Kinoshi banyak bekerjasama dengan jurulatih ternama dari Serbia, Dragan Stankovic di mana mereka mencapai kejayaan yang cukup baik.

Di bawah kepimpinan mereka, Serbia memenangi Kumpulan 4 UEFA Nations League B 2022/23, mengalahkan Sweden dan memperoleh kenaikan pangkat ke UEFA Nations League A, di mana mereka kini bersaing menentang Sepanyol, Denmark dan Switzerland. Satu lagi pencapaian terbaik ialah membantu Serbia layak ke Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar termasuk perlawanan menentang Brazil, Switzerland dan Cameroon.

Selepas dilantik, Kinoshi menegaskan beliau sudah tidak sabar untuk bertemu dengan pasukan dan memulakan tugas sebagai pengendali baharu.

“Saya berbesar hati untuk menyertai Selangor FC, dan saya teruja untuk bekerjasama dengan pemain berbakat di sini.

“Bersama-sama, kami akan berusaha membina pasukan yang bukan sahaja kuat dari segi taktikal tetapi juga dipenuhi dengan semangat dan keazaman untuk berjaya,” katanya dipetik dari laman web rasmi pasukan.