Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kali ini lebih bersedia untuk menganjurkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 antara skuad Harimau Malaya menentang Taiwan pada 11 Jun.
Ini selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan pihaknya amat berpuas hati dengan keadaan padang di SNBJ yang dilihat jauh lebih baik daripada sebelum ini.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- 5 Tanda Status Kewangan Anda Lebih Baik Daripada Kebanyakan Individu Lain
“Setakat ini, padang SNBJ nampak memuaskan dan kita amat puas hati. Kita lihat stadium cukup bersedia dan kita juga sudah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengelolaan Pertandingan (LOC).
“Kita juga mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Keselamatan bagi memastikan keselamatan terjaga terutamanya selepas kita menganggarkan ramai penyokong akan hadir menyaksikan perlawanan itu nanti.
“Kita harapkan ramai yang datang untuk aksi terakhir ini, biar ‘full swing’ supaya dapat memberi sokongan kepada pasukan kita,” katanya dipetik dalam Berita Harian.
Keadaan padang SNBJ beberapa kali berada dalam keadaan teruk ketika Malaysia menerima kunjungan Oman bulan lalu sehingga dikritik hebat oleh para peminat bola sepak tanah air.
Namun begitu, bekas bintang Manchester United, Teddy Sheringham memuji kualiti padang SNBJ yang digunakan untuk perlawanan persahabatan antara Legenda Manchester United menentang legenda Liverpool beberapa minggu lepas.
“Keadaan padang cantik dan rata yang membuatkan kami dapat bermain bola sepak dengan baik. Tidak ada aduan berkaitan padang dan kami sedia untuk kembali bagi menebus maruah Manchester Reds,” katanya.